PENDUDUK mengambil barangan keperluan daripada ahli keluarga dan rakan menerusi kawat duri di Persiaran Paya Terubong. FOTO
PENDUDUK mengambil barangan keperluan daripada ahli keluarga dan rakan menerusi kawat duri di Persiaran Paya Terubong. FOTO
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Persiaran Paya Terubong, Mukim 13 (Timur Laut) Pulau Pinang; Penjara dan Kuarters Penjara Seremban, Negeri Sembilan serta Depot Tahanan Imigresen Langkap di Hilir Perak dilanjutkan sehingga 31 Disember.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu dilanjutkan atas nasihat dan penilaian risiko yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, sehingga semalam sebanyak 2,760 penghuni di Flat Persiaran Paya Terubong (Relau) di Mukim 13 (Timur Laut) sudah disaring dan 69 penghuni didapati positif Covid-19.

"Bagaimanapun, masih terdapat blok yang belum mencapai 40 peratus jumlah saringan dan memerlukan lebih masa untuk meneruskan proses saringan. Oleh itu, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di kawasan itu.

"Bagi Flat Desa Bistari Blok A dan B, Batu Uban, Mukim 13 (Timur Laut), sebanyak 1,079 saringan dilakukan dan merekodkan 34 kes positif namun masih terdapat sampel saringan kedua belum diperoleh.

"Atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di kawasan perumahan berkenaan sehingga 31 Disember ini," katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, masih terdapat baki sampel ujian saringan yang menunggu keputusan di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban serta Depot Tahanan Imigresen Langkap dan Kuarters Kakitangan Daerah Hilir Perak.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan PKPD di taman perumahan dalam Mukim Sungai Seluang, Kedah ditamatkan bermula Ahad ini.

Beliau berkata, Taman perumahan terbabit adalah Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1 dan 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis dan Taman Seri Limau.

"KKM membuat 2,282 saringan dan merekodkan 84 kes positif Covid-19 di semua taman perumahan itu. Kes terakhir direkodkan pada 16 Disember lalu. Semua penduduk sudah disaring dan menunjukkan trend kes menurun," katanya.

Katanya, KKM juga mengesahkan kesemua keputusan saringan sudah diterima dan tiada kes positif baharu direkodkan di asrama Kilang Yamaha dan Madrasah Ad-Diniah AlFalahiah di Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 6:16 PM