GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Beberapa lagi kawasan di Negeri Sembilan, Sabah, Pahang, Kelantan dan Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengekang penularan Covid-19 bermula 9 Julai hingga 22 Julai ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan situasi terkini kes Covid-19 di seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan yang terdiri daripada lapan mukim iaitu Mukim Ampangan, Mukim Labu, Mukim Lenggeng, Mukim Pantai, Mukim Rantau, Mukim Rasah, Mukim Seremban dan Mukim Setul.

Menurutnya, hasil pemantauan dilakukan KKM mendapati, daerah ini mencatatkan peningkatan kes dan setakat 4 Julai lalu, sebanyak 5,504 kes aktif direkodkan di lokaliti ini.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan.

"Satu lagi kawasan dikenakan PKPD Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah selepas terdapat peningkatan kes apabila KKM merekodkan 11 kes positif Covid-19 setakat ini dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, dua perkampungan di Putatan, Sabah iaituK ampung Lembising dan Kampung Dumpil Keramat turut dikenakan PKPD apabila masing-masing merekodkan 17 kes dan 10 kes positif Covid-19.

"Kondominium One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah turut dikenakan PKPD selepas terdapat peningkatan kes yang ketara dalam tempoh singkat apabila sebanyak 31 kes positif direkodkan hasil saringan ke atas 132 orang di lokaliti itu dengan kadar positiviti 23.5 peratus.

"Di Pahang pula, Kuarters Pekerja Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Gebeng, Kuantan turut dikenakan PKPD setelah merekodkan 147 kes positif Covid-19 selepas menjalani 4,278 ujian saringan dengan kadar positiviti sebanyak 3.4 peratus," katanya.

Beliau berkata, tujuh lokaliti dalam kawasan Perindustrian Senai yang dikenakan PKPD adalah Kawasan Perindustrian Indahpura, Kawasan Perindustrian Senai, Kawasan Industri Senai Fasa 1 hingga Fasa 4,Taman Perindustrian Senai, Taman Perindustrian Murni Senai dan Senai Airport City (SAC).

"Dua taman perumahan iaitu Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf diKota Bharu, Kelantan turut dikenakan PKPD selepas KKM mendapati trend kes meningkat dan setakat ini, 36 kes positif direkodkan hasil daripada 83 saringan dengan kadar positiviti 43.4 peratus.

"PKPD turut dikenakan di Kampung Balibata, Beaufort, Sabah setelah KKMmerekodkan 12 kes positif Covid-19 setelah menjalani 25 ujian saringan di lokaliti tersebut dengan kadar positiviti sebanyak 48 peratus," katanya.

Menurut Ismail Sabri berkata, Kampung Pintasan, Kota Belud, Sabah juga dikenakan PKPD setelah merekodkan 11 kes positif Covid-19 selepas menjalani 34 ujian saringan di lokaliti tersebut dengan kadar positiviti sebanyak 32.35 peratus.

"Satu lagi kawasan dikenakan PKPD adalahKampung Istimewa, Batu Sapi, Sandakan, Sabah selepas sebanyak 25 kes positif Covid-19 telah direkodkan dengan kadar positiviti 10.50 peratus.

" Sementara itu, Kampung Tahak, Membakut, Beaufort, Sabah; Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan;Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud, Sabah; Kampung Kukut, Beaufort, Sabah ditamakan PKPD bermula 11.59 malam 8 Julai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 7:06 PM