Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua asrama pekerja di Johor berikutan masih merekodkan kes baharu positif Covid-19.

Kawasan PKPD berkenaan adalah Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar; Asrama Pekerja Westlite 1 dan Asrama Pekerja Westlite 2, Senai.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di kawasan berkenaan yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan sehingga 29 Januari.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan 1,828 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 1,417 kes positif Covid-19 direkodkan di Asrama Pekerja Kejora Juara.

"KKM turut mengesahkan kadar positiviti di lokaliti berkenaan sangat tinggi dan masih terdapat 1,104 baki kes aktif yang ditempatkan di PKRC terletak dalam kawasan PKPD," katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, beliau berkata, di Asrama Pekerja Westlite pula sebanyak 1,979 ujian saringan dilakukan dengan 672 kes adalah positif.

Malah, katanya, baki kes aktif di lokaliti itu juga masih tinggi dan terdapat 50 baki sampel saringan yang menunggu keputusan.

Tambah beliau, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di semua kawasan berkenaan.

KAWALAN ketat di pintu masuk ke asrama pekerja Westlife 1 dan Westlife 2 berikutan PKPD. FOTO Arkib NSTP
KAWALAN ketat di pintu masuk ke asrama pekerja Westlife 1 dan Westlife 2 berikutan PKPD. FOTO Arkib NSTP

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Penjara Kluang dan Kuarters Penjara Kluang, Johor serta Dewan Arena Segitiga, Lot 19094, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, Johor ditamatkan.

"Bagaimanapun, kawasan berkenaan masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negeri itu," katanya.

Bagi Seremban di Negeri Sembilan; Mukim 12 Daerah Barat Daya dan Mukim 13 Daerah Timur Laut, Pulau Pinang serta Batu Pahat dan Johor Bahru di Johor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan hari ini.

Katanya, ekoran pelaksanaan PKP di Pulau Pinang dan Johor serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Negeri Sembilan, maka kesemua lokaliti itu tertakluk di bawah pelaksanaan perintah kawalan negeri masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 7:39 PM