Anak dan cucu Husin memberi susu melalui tiub sebaik cukup masa antara tiga dan empat kali sehari.   FOTO RAMLI IBRAHIM.
Anak dan cucu Husin memberi susu melalui tiub sebaik cukup masa antara tiga dan empat kali sehari. FOTO RAMLI IBRAHIM.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Mempunyai 23 anak hasil tujuh perkahwinan dan 100 cucu adalah rahmat terbesar buat Husin Sani yang juga bekas anggota risikan Senoi Praaq pertama di Gua Musang.

Menerusi anak dan cucunya, Husin, 81, tidak pernah merasa sunyi malah, dia yang kini terlantar selepas serangan angin ahmar, dua tahun lalu sentiasa dikelilingi mereka yang menceriakan suasana.

Seorang anaknya, Satini, 47, berkata, mereka menjadikan rumah ayahnya di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini sebagai tempat berkumpul.

"Rahmat di sebalik ayah mempunyai anak dan cucu yang ramai kerana ketika dia sakit terlantar begini kami dapat menemaninya.

"Kami sentiasa ada untuk menjaga dia yang lumpuh seluruh badan dan tidak boleh bercakap.

"Malah, menjadi rutin untuk kami beramai-ramai membaca Yassin buat kesembuhan ayah dan memohon perlindungan-Nya," katanya ketika ditemui di rumah Husin, semalam.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat yang hadir menziarahi Husin sempena lawatan kerjanya ke Gua Musang.

Satini mengakui sejak ayahnya sakit, mereka tidak lagi mendengar cerita lama daripada orang tua itu terutama ketika Husin mengimbas kenangan berkhidmat dalam Senoi Praaq.

Katanya, setiap kali bercerita, Husin sentiasa bersemangat dan keberaniannya demi menjaga kedaulatan negara terserlah ketika perkongsian itu.

"Kami sunyi sejak ayah sakit kerana tidak lagi mendengar ceritanya ketika zaman dia bertugas dahulu sekitar tahun 40-an," katanya yang memberitahu kebajikan bapanya sentiasa mendapat perhatian Polis Diraja Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 10:38 AM