HUSIN Dollah, parah di kepala, tangan kiri dan kaki kanan selepas diserang beruang di hutan Kampung Sempadik, Pos Belatim. FOTO Ihsan Bomba.
HUSIN Dollah, parah di kepala, tangan kiri dan kaki kanan selepas diserang beruang di hutan Kampung Sempadik, Pos Belatim. FOTO Ihsan Bomba.
Ramli Ibrahim


LELAKI Orang Asli parah diserang beruang dikejar ke Hospital Gua Musang (HGM) dengan penerbangan ihsan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.

Husin Dollah, 35, parah di kepala, tangan kiri dan kaki kanan selepas diserang beruang di hutan Kampung Sempadik, Pos Belatim, 12 tengah hari semalam.

Dia terpaksa menahan kesakitan lebih 22 jam sebelum penerbangan ihsan jam 10.10 pagi untuk dihantar ke HGM.

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Mohd Farhan Marzuki berkata, penebangan ihsan helikopter Agusta A109E itu berlepas dari Subang jam 8.14 pagi.

“Penerbangan itu mendarat di Kampung Sempadik, Pos Simpor jam 9.30 pagi dan mendarat dengan selamat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang.

“Pesakit dalam keadaan stabil kemudian dihantar ke HGM menggunakan ambulans JBPM,” katanya di Gua Musang, hari ini.

Sementara itu, rakan Husin, Asem Along, 32, berkata, dia bersama rakannya masuk ke hutan tidak jauh dari rumahnya di kampung itu jam 11 pagi semalam untuk mencari buah-buahan.

Katanya, baharu satu jam berada di kawasan hutan, tiba-tiba seekor beruang datang dari belakang menyerang rakannya itu, tetapi dia terselamat.

“Husin minta tolong sambil menikam beruang dengan golok dan dia bergelut dengan beruang ketinggian 0.5 meter itu dalam masa 15 minit sebelum melarikan diri. Saya membawa pulang rakan dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.

Katanya, dia bersama rakannya kerap kali memasuki hutan terbabit tetapi tidak pernah terserempak dengan beruang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 6:10 PM