Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Jika bukan kerana penyakit dideritainya, Norhafizah Mustafa, 31, pasti sudah bergelar seorang guru mahupun pensyarah seperti impiannya sejak kecil.

Namun, ketentuan Allah SWT mengatasi segala-galanya apabila Norhafizah disahkan menghidap penyakit lupus atau sistemik lupus eritematosus (SLE) sejak 2009 yang menyebabkan pergerakannya terbatas sebelum penglihatannya turut terjejas.

Ibu tunggal itu berkata, dia pasrah dan melupakan hasratnya meneruskan pengajian di Universiti Malaya yang hanya sempat dirasainya selama satu semester saja.

"Saya dilahirkan normal dan mengimpikan menjadi pendidik, tetapi saya hanya sempat belajar satu semester saja kerana hendak berjalan ke kuliah pun tidak larat sebelum saya memutuskan untuk berhenti daripada pengajian.

"Mulanya, penyakit ini hanya menyerang saraf sebelum lama kelamaan mata semakin kabur dan kini, saya disahkan mengalami glaukoma.

"Walaupun pada mulanya memang sukar menerima kenyataan ini, namun lama kelamaan saya bermuhasabah diri dan kini, reda dengan ujian Allah SWT," katanya ditemui selepas menerima sumbangan barangan keperluan asas sempena sambutan Hari OKU Sedunia di Pusat Rukun Tetangga Brickfields sempena Hari OKU di sini, hari ini.

Seramai 200 penerima golongan masalah penglihatan hadir menerima bantuan masing-masing pada majlis dianjurkan Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Sementara itu, Mohamad Ali Ahmad, 56, yang buta sepenuhnya sejak lahir berkata, dia hanya bergantung hidup sebagai pemuzik jalanan di sekitar ibu negara, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatannya terjejas.

"Dulu dapatlah juga antara RM100 ke RM150 sehari, tetapi sejak PKP saya tidak keluar langsung menyebabkan saya tiada pendapatan.

"Untuk kelangsungan hidup, saya dan isteri bergantung pada Elaun Pekerja Cacat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM400 dan RM250 lagi bantuan daripada Baitulmal.

"Saya juga bersyukur, sejak PKP lalu, pihak yayasan memang banyak meringankan beban kami termasuk sumbangan barangan keperluan asas yang diadakan sehingga kini," katanya.

Norhafizah Mustafa.
Norhafizah Mustafa.

Dia turut berdoa pandemik Covid-19 segera berakhir bagi membolehkannya bekerja semula.

"Insha Allah, memang niat saya mahu bekerja lagi selagi ada daya kerana tidak mahu terus mengharap ihsan bantuan. Semoga Covid-19 ini segera berakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:26 PM