Arissa Damia meninggal dunia Disember lalu. FOTO Mohd Yazid Md Yassin
Arissa Damia meninggal dunia Disember lalu. FOTO Mohd Yazid Md Yassin
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sejak pemergian anak sulung mereka Disember lalu, pasangan suami isteri ini tetap setia berulang ke pusara remaja itu hampir setiap hari bagi mengubat kerinduan.

Mohd Yazid Md Yassin, 41, berkata, anaknya, Arissa Damia, 15, meninggal dunia 18 Disember lalu, akibat Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau penyakit auto imun yang mengakibatkan sel badannya menyerang organ dalamannya.

Sejak itu katanya, dia dan isteri, Lydiawati Abu Bakar, 40, ke pusara anak mereka, Arissa Damia atau mesra disapa Kakak di Kampung Pelindung, Beserah, Kuantan, Pahang kira-kira dua kilometer dari rumah mereka setiap pagi.

"Saya dan isteri sentiasa ziarah kuburnya, boleh dikatakan hampir setiap hariā€¦kecuali ada beberapa hari kami balik kampung untuk adakan tahlil arwah.

"Bukan kami tak reda, tapi itu cara kami lepaskan rinduā€¦berborak dengan kakak seolah-olah dia ada depan mata.

"Malah, sampai sekarang telekung yang pernah arwah pakai kami tidak basuh selain turut menyimpan beberapa barang seperti baju dia suka dan selalu pakai selain tulisan khatnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, bapa tiga anak itu berkata, Arissa Damia didiagnos SLE selepas kerap mengalami jangkitan kuman dalam air kencing sejak di tingkatan satu.

"Sejak itu dia perlu berulang ke klinik dan dua kali dimasukkan ke wad untuk rawatan antibiotik sebelum doktor diagnos dia hidap SLE pada Ogos 2023.

"Pada November, kesihatannya mula merosot, tiada selera makan, badan lesu, muntah, cirit-birit dan berat badan turun sehingga 20 kilogram saja.

"Dia kena minor strok, tak boleh bercakap dan lemah anggota badan sebelah kanan pada 1 Disember sebelum ditidurkan empat hari selepas itu kerana pernafasan tidak stabil dan kritikal sehingga menghembuskan nafas terakhirnya," katanya.

Katanya, biarpun berat dugaan kehilangan anak itu, mereka sentiasa berfikiran positif meneruskan kehidupan seharian.

"Kami reda, Allah sebaik-baik perancang...dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNya.

"Mungkin, jika Allah panjangkan umur kakak, kesan fizikalnya sangatlah teruk iaitu kedua-dua kakinya akan dipotong, salur darah pada kakinya sudah tersumbat dan sel pada kaki sudah mati.

"Dengan keadaannya strok, tidak boleh bercakap..mungkin lebih derita untuk dia dan kepada kami sebagai ibu bapa apabila tengok dia menderita.

"Itu yang membuatkan kami sentiasa fikir positif dan kuat teruskan kehidupan apatah lagi kami ada dua anak lagi yang perlu diberi perhatian," katanya.

Justeru, menurutnya, dia tekad berkongsi kisah anaknya itu di media sosial bukan kerana meratap mahupun menagih simpati, namun sebagai kenangan selain berkongsi pengalaman tentang penyakit itu.

"Kakak bukan saja permata hati pertama kami, tapi dia juga satu-satunya anak perempuan yang kami ada jadi memang kehilangannya sangat terkesan buat kami.

"Jadi kami berkongsi di media sosial pasal kakak selain abadikan kenangan, supaya orang luar juga tahu dan lebih cakna kesan penyakit SLE ini.

"Saya sendiri pun baru tahu apabila anak sendiri hidap penyakit ini dan sekurang-kurangnya apabila orang ramai tengok post (hantaran) itu boleh sama-sama mendoakan anak saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 10:23 AM