DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Bernama
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay. FOTO Bernama
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: "Individu ini mempunyai tujuh kes jenayah lampau," kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung dakwaan seorang lelaki bahawa polis menggunakan kekerasan terhadap tahanan lokap hingga menyebabkan kematian.

Katanya, kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Ganesh Nadaraja (dikenali sebagai N Ganesparan) itu mendakwa lebih 200 tahanan lokap dipukul polis hingga menyebabkan kematian yang secara tidak langsung menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Dakwaannya 255 orang kena tuduh (OKT) mati dalam lokap polis dari tahun 2000 hingga 2014 adalah tidak benar. Kami (polis) pun tidak tahu dari mana dia dapat statistik itu.

"Di Johor, bagi tempoh yang sama, ada 23 kes sahaja kematian dalam lokap yang disahkan sebagai mati mengejut kesan daripada pengambilan dadah," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Katanya, lelaki tempatan berusia 38 tahun itu sebenarnya mempunyai tujuh rekod jenayah lampau yang disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 397 Kanun Keseksaan, Seksyen 160 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Individu ini dipercayai sudah keluar dari Malaysia pada November 2017 dan pernah berada di Qatar sebelum berpindah ke Jerman," katanya.

Beliau berkata, individu terbabit turut mengeluarkan kenyataan merujuk kepada seorang lelaki berusia 39 tahun (dikenali sebagai K Haridas) yang pernah didakwa melemparkan tuduhan terhadap integriti Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Johor melalui video dimuat naik dalam laman Facebook Defend People's Rights Group.

Katanya, pihaknya turut menafikan dakwaan individu itu bahawa lelaki yang pernah ditahan berkenaan (K Haridas) dipukul dalam lokap polis kerana laporan lelaki itu dipukul pada ketika dia dalam tahanan di lokap penjara Ulu Choh, pada 24 November lalu.

"Individu itu (N Ganesparan) sepatutnya dapatkan fakta yang betul sebelum membuat dakwaan. K Haridas ditahan bagi kes 2017 berkaitan jenayah ugutan dan bukannya kes memfitnah saya dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Dia ini hanya berani membuat kenyataan itu kerana berada di luar negara. Kalau berani, pulang semula ke Malaysia untuk menghadapinya. Sudah jadi trend orang Malaysia membuat kenyataan memburukkan negara ketika sudah tinggal di luar negara," katanya memaklumkan N Ganesparan berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan pernah ditahan lima kali dari 2010 hingga 2017.

Terdahulu, video berdurasi enam minit 56 saat yang dimuat naik semalam di laman Facebook Ganesh Nadaraja mendapat tontonan lebih 3,200 kali dan dikongsi 110 pengguna.

#kw nafi, kekerasan, tahanan, lokap, Polis Johor, Facebook

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 3:01 PM