GAMBAR tular didakwa lokap Balai Polis Penampang.
GAMBAR tular didakwa lokap Balai Polis Penampang.
Juwan Riduan


POLIS menafikan gambar tular di Facebook (FB)dan aplikasi WhatsApp yang memaparkan situasi tahanan dalam lokap berlaku di Balai Polis Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, gambar itu dimuat naik pemilik akaun FB ‘Faizal Hussin’ dengan keterangan ‘apa macam tinggal di sini (lokap) siok (seronok) kah... kerana kedegilan dan keras kepala merasa jua kamu tinggal di lokap.’

“Polis Penampang menafikan sekeras-kerasnya mengenai hantaran yang dimuat naik individu itu, ia bukanlah berlaku di lokap Balai Polis Penampang seperti yang didakwanya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, pihaknya terkesan dengan penularan beberapa imej yang memaparkan situasi tahanan dalam lokap kerana ia menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam dalam keadaan negara dilanda wabak Covid-19.

“Individu yang memuat naik hantaran itu sudah dikenal pasti seorang lelaki berusia 40-an warga tempatan dan kita menyiasatnya mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM)1998,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan kenyataan palsu yang boleh mencemarkan imej pihak berkuasa dan mengganggu gugat ketenteraman awam.

Terdahulu, beberapa keping gambar tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak semalam, memaparkan situasi dalam lokap dengan beberapa individu ditahan di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 5:52 PM