Samadi Ahmad

Cyberjaya: Kakitangan syarikat penerbangan yang kehilangan punca pendapatan dan terkesan akibat pandemik Covid-19 dipelawa menyertai program keusahawanan bagi menjana pendapatan.

Program bermula hari ini diadakan secara kerjasama Malakat Mall dan pembekal makanan syarikat terkenal penerbangan, Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd dengan menyasarkan 1,000 penyertaan kepada usahawan baharu yang ingin memulakan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Malakat Mall, Fadzil Hashim berkata, pada peringkat permulaan peserta akan disediakan dengan makanan siap dimasak, sihat dan berkhasiat untuk dipasarkan di kawasan komuniti mereka.

Katanya, bermodalkan RM1,000 peserta sudah boleh memulakan perniagaan dan barangan jualan terbabit boleh didapati secara terus di Malakat Mall.

"Sekiranya usahawan terbabit tidak mempunyai modal, pihak kami juga sedia membantu termasuk memberikan teknik perniagaan," katanya kepada pada Majlis Menandatangani Projek Muslim Village Malaysia bersama Perbadanan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Sdn Bhd di Malakat Mall di sini, tadi.

MOHD Fadzil (dua dari kiri) dan Mohd Fadhli (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kolaborasi Strategik di Malakat Mall Cyberjaya. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
MOHD Fadzil (dua dari kiri) dan Mohd Fadhli (dua dari kanan) pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Kolaborasi Strategik di Malakat Mall Cyberjaya. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Turut hadir, Pengarah Urusan Kewangan dan Pentadbiran, Brahim's SATS Food Services Sdn Bhd, Mohd Fadhil Abdul Rahman dan Pengerusi Perbadanan YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Projek Muslim Village Malaysia di Bukit Tasik, Serendah, Selangor ini dibangunkan oleh Raudah City di tanah seluas 176.9 ekar milik Perbadanan YBK membabitkan 1,000 unit kediaman dan dijangka siap pada Jun 2021.

Mohd Fadhil berkata, program diadakan ini adalah inisiatif pihaknya dalam membantu kakitangan syarikat penerbangan yang banyak membantu memperkenalkan makanan keluaran syarikatnya sebelum ini.

Katanya, makanan yang akan dipasarkan dalam program keusahawanan itu adalah bertaraf antarabangsa, namun harga yang dijual adalah mampu milik bagi semua peringkat.

"Program secara kerjasama ini akan diadakan secara berterusan dan orang awam yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 juga dipelawa menyertai program ini, "katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 6:43 PM