Arshad melihat ternakannya di Kampung Paya Tok Teh, Kubang Pasu hari ini. Foto Zuliaty Zulkiffli
Arshad melihat ternakannya di Kampung Paya Tok Teh, Kubang Pasu hari ini. Foto Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Kubang Pasu: "Saya hanya fikir untuk selamatkan lapan ekor lembu dan lima ekor kerbau peliharaan di kandang belakang rumah ketika kawasan rumah ditenggelami air sejak tengah malam," kata Arshad Majid, 58.

Menurutnya, isteri dan empat anaknya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau tetapi dia sanggup duduk di rumah kerana bimbangkan haiwan peliharaannya.

Katanya, rumahnya di Kampung Paya Tok Teh, Malau dinaiki air hampir satu meter bermula 3 petang semalam.

"Kami sekeluarga hanya sempat mengangkat barangan berharga ke tempat tinggi sebelum air memasuki rumah.

"Semua lembu dan kerbau ini untuk disembelih dan dijual di pasar harian, sebelum ini ada 13 ekor tetapi sebahagiannya saya sudah jual, sekarang cuma ada lapan ekor lembu dan lima kerbau.

"Walaupun tak hujan, air naik dengan cepat dan saya sempat selamatkan lembu dan kerbau yang berharga keseluruhannya kira-kira RM40,000," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Arshad berkata, bulan lalu banjir kilat berlaku di kawasan kampungnya tetapi berjaya menyelamatkan haiwan peliharaannya.

Menurutnya, itu saja sumber mata pencariannya dan perlu diselamatkan lebih awal kerana sudah 20 tahun bekerja sebagai penjual daging.

Seorang lagi penduduk, Murni Majid, 55, berkata, air memasuki rumahnya sejak 8 pagi semalam tetapi dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan barangan sebelum air masuk deras.

Menurutnya, mereka sekeluarga kemudian berpindah ke PPS selepas air naik setinggi satu meter kerana bimbang air semakin naik.

"Sawah seluas 15 relung saya habis ditenggelami air sejak semalam.

"Saya berpindah ke PPS ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain mengambil pemeriksaan imbasan suhu sebagai langkah mengelak penularan Covid-19," katanya.

l

Sementara itu, Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, setakat ini seramai 74 mangsa daripada 18 keluarga di Kubang Pasu dan Pokok Sena dipindahkan ke PPS berikutan paras air yang meningkat.

Menurutnya, 62 mangsa dari 15 keluarga dari empat kampung di Kubang Pasu dipindahkan di PPS di SK Malau.

"Seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga di Pokok Sena dipindahkan ke surau di Kampung Permatang Limau.

"Urusan pemindahan turut mendapat kerjasama dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan penghulu kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 9:25 PM