GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Alor Setar: Seramai 29 mangsa banjir dari Kubang Pasu yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Malau dibenarkan pulang selepas paras air di rumah mereka surut sepenuhnya, hari ini.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, PPS yang menempatkan kesemua mangsa daripada enam keluarga itu ditutup pada 12 tengah hari tadi.

"PPS SK Malau itu dibuka pada 10 malam Isnin lalu selepas paras air naik sehingga dua meter ekoran hujan lebat tanpa henti. Air mula surut secara perlahan sejak semalam dan hari ini, kesemua mangsa dibenarkan pulang selepas air surut ekoran cuaca yang baik," menurutnya dalam kenyataan di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata, PPS Surau Kampung Permatang Limau di Pokok Sena dan PPS SK Suka Menanti di Kota Setar masih beroperasi serta menempatkan 56 mangsa daripada 17 keluarga.

"Di Pokok Sena, seramai 12 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Surau Kampung Permatang Limau. Mereka adalah penduduk dari Kampung Pulau dan Kampung Permatang Limah.

"Bagi Kota Setar, seramai 44 mangsa daripada 14 keluarga dari tiga kampung iaitu Kampung Suka Menanti, Kampung Seberang Pumpong dan Kampung Alor Gunung ditempatkan di PPS SK Suka Menanti di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 8:16 PM