BANJIR yang berlaku  menyebabkan lebih 14 jalan utama di Maran ditenggelami air. FOTO ihsan pembaca
BANJIR yang berlaku menyebabkan lebih 14 jalan utama di Maran ditenggelami air. FOTO ihsan pembaca
Asrol Awang


Kuantan: Keadaan banjir di Pahang semakin buruk apabila 67 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan sembilan daerah setakat 6 petang hari ini.

Menurut portal bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 3,122 mangsa daripada 868 keluarga kini ditempatkan di 67 PPS.

PPS di Raub merekodkan jumlah paling banyak iaitu 26 PPS, diikuti 11 PPS di Kuantan, Maran (lapan), Jerantut dan Rompin masing-masing enam, Temerloh (lima), Lipis (dua) dan satu PPS di Bentong.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang dalam kenyataan di Facebook menasihati semua penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah supaya berwaspada.

"Ini kerana berlaku kenaikan paras air sungai yang hampir kepada tahap bahaya.

"Ini adalah disebabkan jumlah hujan ketika ini sangat tinggi berbanding keadaan biasa. Doakan selamat untuk semua penduduk di Pahang," katanya.

Menurut laporan infobanjir.water.gov.my, tiga sungai melepasi paras bahaya, dua sungai berada paras amaran manakala lima sungai pada paras berjaga-jaga.

Tiga sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, di sini, diikuti Sungai Lembing, di sini dan Sungai Lipis di Batu Malim, Raub.

Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan dan Sungai Pahang di Serambi, Paloh Inai, Pekan pula melepasi paras amaran.

Lima sungai yang melepasi paras berjaga-jaga ialah Sungai Kemudi, Kuantan; Sungai Bentong di Kuala Marong, Bentong; Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran, Sg Belat di Sri Damai, Kuantan dan Sungai Pukin, Rompin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 6:26 PM