KEADAAN rumah dilanda banjir di di Kampung Gudang Rasau, Kuantan. FOTO Asrol Awang
KEADAAN rumah dilanda banjir di di Kampung Gudang Rasau, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Seramai 2,489 mangsa banjir daripada 783 keluarga masih berada di 33 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini, sehingga 12 tengah hari, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, Pekan merekodkan mangsa banjir paling ramai iaitu 973 orang, diikuti Temerloh 716 orang), Kuantan (463 orang), Bentong (248 orang) dan Maran (89 orang).

Katanya, sebanyak sembilan jalan ditutup membabitkan lapan daerah di negeri ini iaitu Jalan Southern Loop, Bentong dan Jalan Kuala Lipis-Jerantut, Jerantut.

"Turut ditutup Jalan Sungai Lembing, Kuantan; Jalan Kuala Lumpur– Kuantan, Maran; Jalan Bentong-Gua Musang, Lipis; Jalan Kuantan-Segamat, Pekan; Jalan Ulu Dong, Raub; Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok di Temerloh.

"Sebanyak 21 kes kematian akibat banjir direkodkan di Pahang setakat ini iaitu 11 di Bentong, Temerloh (empat), Kuantan (tiga) dan Raub(dua) serta satu lagi di Pekan," katanya.

Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dua sungai, masing-masing satu di Jerantut dan Maran merekodkan bacaan air sungai melepasi paras amaran, 12 tengahari ini.

Sungai terbabit ialah Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut dan Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran.

Sungai Tembeling mencacat paras air 57.23 meter (m) berbanding paras amaran 56 m manakala Sungai Luit pula 27.48 m berbanding paras amaran 27m.

Empat sungai pula melepasi paras waspada iaitu Sungai Dong, Kampung Peruas di Raub, Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong; Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut dan Sungai Kundang, Maran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 1:00 PM