PUSAT pemindahan sementara di SK Kampung Pasir. FOTO ihsan APM
PUSAT pemindahan sementara di SK Kampung Pasir. FOTO ihsan APM
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor mencatatkan 155 orang membabitkan 40 keluarga, dengan dua pusat pemindahan dibuka, sehingga 8 pagi, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata sehingga kini, daerah yang terjejas adalah Johor Bahru dan Pontian dengan pusat pemindahan sementara (PPS) masing-masing dibuka 7.30 malam serta 10 malam tadi.

Katanya, di Johor Bahru, 144 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pasir.

"Kawasan yang terjejas di daerah ini membabitkan Kampung Pasir, Kampung Seri Serdang, Kampung Pengkalan Rinting dan Kampung Seri Jaya.

"Di Pontian, seramai 11 mangsa daripada empat keluarga kini ditempatkan di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, dalam situasi seumpama, pihaknya menyarankan keselamatan ketika banjir antaranya sentiasa minum air yang sudah masak, makan makanan yang dimasak dan buang makanan yang terendam dengan air banjir atau rosak.

"Elakkan mengambil makanan mentah seperti ulaman dan sayuran, tutup makanan supaya tidak dicemari makhluk perosak seperti lipas, lalat atau tikus, selain memastikan penyediaan susu yang selamat dan jangan mengambil makanan yang dihidang lebih empat jam.

"Kerajaan negeri menerusi agensi berkaitan sentiasa memantau keadaan banjir di negeri ini dan akan membantu mangsa yang terjejas akibat banjir," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 11:03 AM