Pusat pemindahan sementara (PPS) di SMK Bukit Batu ditutup pada 8 malam semalam. Gambar ihsan APM
Pusat pemindahan sementara (PPS) di SMK Bukit Batu ditutup pada 8 malam semalam. Gambar ihsan APM
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Banjir yang mulai surut memberi keyakinan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan terjejas untuk pulang ke kediaman masing-masing sejak malam tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor berkata, sehingga jam 8 pagi hari ini, hanya dua daerah iaitu Pontian dan Kluang terjejas dan mencatatkan 112 mangsa membabitkan 36 keluarga.

Beliau berkata, sehingga kini sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) daripada lima PPS yang beroperasi juga ditutup.

Menurutnya, ia termasuk PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Batu di Kulai yang ditutup pada 8 malam semalam dan menyaksikan pendaftaran keluar 159 mangsa membabitkan 41 keluarga.

Katanya, manakala PPS di SK Kampung Pasir di Kampung Pasir, Tampoi pula yang dibuka pada 7 petang semalam sebagai persediaan bagi menerima kehadiran mangsa banjir juga ditutup pada jam 12.30 tengah malam selepas tiada pendaftaran masuk mangsa.

"Semua mangsa yang terbabit dilaporkan sudah pulang ke rumah masing-masing.

"Manakala tiga lagi PPS termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kampung Renggam dan SK Sungai Linau di Kluang dan di SK Melayu Raya di Pontian masih beroperasi.

"PPS SK Melayu Raya dijangka akan ditutup pada hari ini sekiranya keadaan banjir semakin pulih dan ia menempatkan 37 mangsa membabitkan 10 keluarga.

"Buat masa ini SK Sri Kampung Renggam menempatkan 33 mangsa membabitkan 15 keluarga manakala SK Sungai Linau pula menempatkan 42 mangsa membabitkan 11 keluarga," katanya menerusi siaran media hari ini.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 10:10 AM