KEADAAN banjir di Muar, semalam. Foto Ihsan Pembaca
KEADAAN banjir di Muar, semalam. Foto Ihsan Pembaca
Mohamed Farid Noh


BANJIR di Johor makin memburuk dengan empat daerah terjejas bah dan angka penduduk terjejas melonjak ke 1,235 orang, sehingga jam 2 pagi tadi.

Ia berbanding hanya 707 mangsa daripada 164 mangsa, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, Batu Pahat menjadi daerah terbaharu dan keempat yang terjejas banjir.

Katanya, sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka, iaitu pertambahan empat PPS berbanding malam tadi.

"Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk apabila empat daerah kini terjejas banjir dengan mangsanya melonjak kepada 1,235 orang daripada 323 keluarga.

"Muar menjadi daerah paling terjejas dengan 768 mangsa daripada 208 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.

"Ia diikuti Tangkak dengan 267 mangsa daripada 63 keluarga, sementara Pontian pula membuka tiga PPS dengan seramai 160 mangsa daripada 47 mangsa.

"Daerah terbaharu dilanda banjir iaitu Batu Pahat pula membuka sebuah PPS dengan 20 mangsa daripada lima keluarga terjejas, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Vidyananthan berkata, semua agensi diarahkan supaya terus meningkatkan pemantauan dan kesiapsiagaan anggota di seluruh negeri ini.

"Ia berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu masih berlanjutan dengan hujan lebat turun di hampir semua daerah di negeri ini.

"Jabatan Meteorologi Malaysia juga dilaporkan meramalkan keadaan cuaca lembap dan hujan berterusan dijangka berterusan sehingga hujung Julai ini, sekali gus meningkatkan kebimbangan berlaku banjir di kawasan rendah, " katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 8:25 AM