Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menanam pokok meranti di kawasan bekas kebun sayur haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat. FOTO Arkib NSTP
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menanam pokok meranti di kawasan bekas kebun sayur haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat. FOTO Arkib NSTP
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan negeri Pahang dijangka mengutip hasil sewaan tanah pertanian di Cameron Highlands berjumlah RM5.7 juta pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknolgi negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata, kutipan sewaan itu membabitkan keseluruhan tiga mukim iaitu Ringlet, Tanah Rata dan Ulu Telom.

Beliau berkata, keluasan tanah pertanian ditawarkan kepada pekebun ialah 1,142 hektar membabitkan empat fasa.

"Setakat ini, dua fasa sudah selesai membabitkan mukim Ulu Telom dengan keluasan tanah pertanian 740.4 hektar, Ringlet (88.8 hektar) dan Tanah Rata(5.2 hektar) dengan keseluruhan kawasan 834.4 hektar.

"Tahun ini kerajaan negeri menganggarkan RM4 juta dikutip manakala RM5.7 juta pada 2021," katanya ketika menjawab soalan Chiong Yoke Kong (DAP-Tanah Rata) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Chiong ingin tahu jumlah anggaran hasil sewaan tanah pertanian di Cameron Highlands dan rancangan kerajaan negeri membelanjakan hasil kutipan itu untuk rakyat.

Mohd Soffi berkata, kerajaan negeri akan membelanjakan hasil kutipan untuk pelaksanaan pembangunan dan pengurusan daerah Cameron Highlands.

Beliau berkata, kerajaan negeri meletakkan syarat dan terma tertentu terutama aspek alam sekitar diambil kira sebelum diberikan kelulusan untuk mengelakkan pencemaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 2:24 PM