WAN Rosdy bersama penduduk Kuala Tahan. FOTO Ab Malek.
WAN Rosdy bersama penduduk Kuala Tahan. FOTO Ab Malek.
Roselan Ab Malek


LEBIH 5,000 hektar tanah berstatus Lesen Pemilikan Sementara (LPS) ditawarkan kepada kira-kira 1,000 pengusaha kebun dan pemegang tanah tol di Cameron Highlands berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua tanah itu membabitkan tiga mukim di daerah berkenaan, dengan tempoh penyewaan selama tiga tahun, dan tertakluk kepada beberapa syarat.

“Kerajaan negeri bersetuju semua tanah berstatus LPS akan dipecahkan kepada 78 blok dengan keluasan keseluruhan 5,526.219 hektar.

“Tanah ini akan dipecahkan kepada tiga mukim iaitu Ulu Telom dengan 58 blok berkeluasan 5,040.005 hektar; Mukim Ringlet, 14 blok berkeluasan 467.746 hektar dan Mukim Tanah Rata, enam blok berkeluasan 18.468 hektar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Ramah Mesra Muafakat Nasional bersama warga Kuala Tahan di Jerantut, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin dan ADUN Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.

Wan Rosdy berkata, surat tawaran terutama kepada bekas pemegang Lesen Pendudukan Sementara yang ditamatkan pada 2018, dilakukan secara berperingkat bermula hari ini.

Beliau berkata, buat masa ini seramai 1,018 penama yang juga pemegang LPS sebelum ini sudah dikenal pasti untuk ditawarkan penyewaan tanah berkeluasan 1.2 hektar seorang.

“Tempoh sewaan selama tiga tahun dan akan tertakluk kepada beberapa syarat yang akan ditentukan antaranya mewajibkan persijilan Amalan Pertanian Baik (MyGap) bagi menyambung tempoh sewaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga bersetuju memajak 78 blok ini kepada Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK).

Ia kemudian akan dipajakkan kepada Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH), dan sebahagian kecil dipajak kepada Pahang Corporation Sdn Bhd (PCSB).

“PCSB selaku pengurus hartanah akan menyewakan sebahagian tanah itu kepada pekebun yang sudah diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah (JKPTD) Cameron Highlands,” katanya.

Menurut beliau, sewaan berdaftar ini secara tidak langsung akan menjamin sumber makanan bersih dikeluarkan di Cameron Highlands serta menjamin kelestarian alam sekitar.

“Sewaan ini juga dapat meningkatkan kecekapan pengurusan tanah.

“Malah, pekebun turut menerima tempoh sewaan lebih lama berbanding kaedah LPS sebelum ini yang hanya setahun sahaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 5:25 PM