Nurul Hidayah Bahaudin

PASUKAN khas ‘Jammed Squad’ dikenal pasti membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas ‘luar biasa’ pada waktu puncak dengan menyampaikan maklumat kepada petugas sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Bukit Aman Superintendan Bakri Zainal Abidin berkata, pasukan terbabit berperanan sebagai pemantau yang menyampaikan maklumat kesesakan kepada petugas SJR supaya langkah efisien diambil bagi mengatasi masalah itu.

“Apabila berdepan kesesakan, petugas SJR tidak mengetahui keadaan sesak mungkin lebih satu kilometer di lokasi berkenaan.

“Justeru, pasukan ini akan memainkan peranan mereka dengan memantau sejauh mana kesesakan dialami sebelum memaklumkan kepada petugas SJR.

“Pada masa sama, pasukan ini juga yang menaiki motosikal akan membantu menyuraikan aliran trafik dengan mengarahkan kenderaan perkhidmatan penting melalui laluan khas disediakan,” katanya.

KETUA Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin (kiri) bersama Skuad Jammed meninjau keadaan lalulintas di LDP Puchong pada Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) Fasa Ketiga sehingga 28hb April 2020. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan penugasan pasukan Jammed Squad di SJR Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) Batu 11 Puchong, hari ini.

Pasukan itu juga melakukan penugasan di SJR Jalan Cheras menghala pusat bandar, Kuala Lumpur yang juga antara 16 lokasi dikenal pasti mengalami kesesakan luar biasa.

Bakri berkata, pemantauan dilakukan mendapati jumlah kenderaan perdagangan dan persendirian melalui kedua-dua lokasi berkenaan pada waktu puncak semakin berkurangan.

SKUAD Jammed membantu kesesakan lalulintas di LDP Puchong pada Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) Fasa Ketiga sehingga 28hb April 2020. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
SKUAD Jammed membantu kesesakan lalulintas di LDP Puchong pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Ketiga sehingga 28hb April 2020. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

“Pemantauan di kedua-dua lokasi ini mendapati pemandu kenderaan perdagangan dan orang ramai mula mengambil saranan Pengarah JSPT Bukit Aman semalam yang menasihatkan mereka supaya tidak keluar pada waktu puncak bagi mengelakkan pertembungan dengan individu bekerja.

“Ini dapat dilihat berdasarkan hanya beberapa kenderaan perdagangan dilihat melalui dua lokasi SJR pada waktu puncak. Tidak dapat dinafikan, memang ada segelintir individu yang diperiksa memberi alasan mahu keluar membeli barang keperluan, namun jumlahnya hanya sedikit.

“Kami berharap keadaan ini akan berterusan sehingga tamat tempoh perlaksanaan PKP bagi membolehkan individu yang bertugas untuk bekerja tidak berdepan kesesakan lalu lintas,” katanya.

SKUAD Jammed membantu kesesakan  lalulintas di LDP Puchong pada Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) Fasa Ketiga sehingga 28hb April 2020. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
SKUAD Jammed membantu kesesakan lalulintas di LDP Puchong pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa Ketiga sehingga 28hb April 2020. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 1:01 PM