Fast Combat Boat (FCB) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)  berjaya mengusir beberapa bot nelayan asing dan menahan sebuah bot di 60 batu nautika perairan Kuantan, semalam.
Fast Combat Boat (FCB) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya mengusir beberapa bot nelayan asing dan menahan sebuah bot di 60 batu nautika perairan Kuantan, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Fast Combat Boat (FCB) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila mengusir beberapa bot nelayan asing dan menahan sebuah bot di 60 batu nautika di perairan Kuantan, semalam.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintah Armada Barat TLDM berkata, bot nelayan asing dari Vietnam yang menceroboh Zon Maritim Malaysia (ZMM) dikesan menerusi radar Kapal Diraja (KD) Lekiu.

"Dua FCB yang membawa Quick Reaction Team (QRT) dari Markas Wilayah Laut diaturgerakkan ke lokasi kejadian kira-kira 60 batu nautika dari Pangkalan TLDM Kuantan, Pahang bagi mengusir serta memintas beberapa bot nelayan asing di kawasan berkenaan.

"Hasilnya, semua bot nelayan asing berjaya diusir dan sebuah daripadanya berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bot asing ditahan itu didapati membawa 21 awak-awak warganegara Vietnam berusia 20 hingga 32 tahun.

Katanya, mereka didapati membuat penangkapan ikan secara haram, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan sah.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM 1.2 juta," katanya.

FCB yang beroperasi sejak 26 April lalu dilengkapi keupayaan pengawasan pada waktu malam, kamera Forward Looking Infrared (FLIR) dengan lensa sehingga 30 kali zoom serta boleh dioperasikan dengan pasukan QRT bagi melaksanakan sebarang operasi penggeledahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 9:32 PM