Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan di SJR Bukit Yong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan di SJR Bukit Yong. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Pasir Puteh: Polis Kelantan memperketatkan kawalan di laluan tikus dan tempat awam di negeri ini bagi mengekang penularan Covid-19.

Kawalan itu membabitkan laluan tikus di tiga kawasan di Pasir Puteh dan masing-masing satu kawasan di daerah Gua Musang dan Jeli.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, sebelum ini sebanyak 17 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di Kelantan dan sekatan di laluan tikus adalah langkah tambahan bagi mengelakkan penduduk lolos merentas daerah atau negeri tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, penduduk mempunyai dokumen perjalanan sah akan melalui jalan utama SJR, namun laluan tikus digunakan penduduk mengambil kesempatan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, tiada lesen memandu dan merentas negeri tanpa alasan kukuh.

"Kami bertegas, walaupun ada dokumen kita akan buat pemeriksaan mengejut (spotcheck) secara rawak bagi memastikan tiada pemalsuan dokumen.

"Paling banyak laluan tikus kita kesan di Pasir Puteh, sebab itu kita tambah dua pasukan kuat kuasa kerana laluan di sini menghubungkan Kelantan ke Jerteh, Besut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sepatutnya kalau tak ada alasan munasabah, tak perlu rentas daerah atau negeri," katanya ketika ditemui ketika memantau operasi di laluan tikus Jalan Kampung Jenarah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri.

Shafien berkata, setakat ini 500 anggota polis bekerjasama dengan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) , Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi bertugas di SJR di seluruh negeri.

Beliau berkata, 160 anggota lain turut bertugas di enam sekolah dan sekolah tahfiz di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Setakat ini, kita mempunyai anggota mencukupi untuk bertugas di SJR dan kawasan Covid-19, selain itu, kita buat kawalan di kawasan awam seperti gerai menjual makanan berbuka.

"Hasilnya, 71 kompaun dikeluarkan membabitkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dengan kesalahan paling tinggi tidak memakai pelitup muka dan tidak membuat penjarakan fizikal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafien turut memaklumkan pihaknya sudah menyelesaikan siasatan ke atas personaliti media sosial yang membuat rentas negeri dan hadir ke majlis perkahwinan pada Februari lalu.

Katanya, kes itu sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan seramai lima individu termasuk pengantin diambil tindakan kompaun di bawah Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 5:40 PM