GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kontraktor kerugian lebih RM107,000 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa berusia 45 tahun sebelum itu menerima panggilan telefon daripada lelaki bernama Mr Lai yang memperkenalkan diri sebagai pegawai BNM pada 11 pagi.

"Berdasarkan keterangan mangsa, suspek memberitahu bahawa terdapat penggunaan kad kredit atas namanya berjumlah RM11,188.35 untuk pembelian barangan di platform e-dagang.

"Mangsa menafikan perkara berkenaan dan memberitahu dia tidak pernah menggunakan kad kredit daripada bank berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, suspek kemudian menyambung panggilan kepada 'pegawai polis' wanita dikenali sebagai Than Kok Hwa didakwa dari Bukit Aman.

Menurutnya, suspek wanita itu memberitahu akaun kad kreditnya disalah guna dan diminta hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Mangsa memberitahu dia mempunyai dua akaun di bank berbeza sebelum diarah untuk ke mesin juruwang automatik (ATM) di kedua-dua bank berkenaan.

"Lelaki itu kemudian pergi ke ATM dan mendapati wang daripada kedua-dua akaunnya berkurangan sebanyak RM107,996.95 apabila selesai mengikuti arahan wanita itu," katanya.

Katanya, mangsa berasa tertipu sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah pada 6.15 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 8:00 PM