Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


PEGAWAI wanita di sebuah badan berkanun kerugian hampir RM700,000 selepas ditipu sindiket 'Macau Scam' yang menyamar sebagai kakitangan sebuah syarikat penghantaran pada 21 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa berusia 51 tahun sebelum itu menerima panggilan telefon daripada individu memperkenalkan diri sebagai pegawai dari sebuah syarikat penghantaran di Kuala Lumpur.

Menurutnya, suspek mendakwa terdapat bungkusan yang didaftarkan atas nama mangsa mengandungi kad pengenalan dan lapan kad mesin juruwang automatik (ATM) dihantar ke alamat di Kota Kinabalu, Sabah.

"Mangsa menafikan perkara itu, namun suspek menyambungkan talian kepada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan mendakwa wanita itu terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

"Mangsa sekali lagi dihubungi suspek melalui nombor +87088454222 dan menyatakan pelbagai dakwaan jenayah sehingga percaya identitinya sudah disalahgunakan.

"Wanita itu kemudian diminta memberi kerjasama untuk memberi maklumat perbankan kepada suspek bagi tujuan semakan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membersihkan namanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, mangsa yang terpedaya akur dengan arahan suspek sebelum membuat pindahan wang ke enam akaun bank membabitkan 38 transaksi berjumlah RM695,660.68 bermula 21 Mei lalu.

"Wanita terbabit kemudian memaklumkan perkara itu kepada suaminya pada 12 Julai lalu sebelum dia menyedari ditipu," katanya.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat berkaitan kewangan, akaun bank atau nombor pin kad ATM kepada individu lain.

"Jangan mendedahkan butiran diri sekiranya menerima panggilan daripada nombor tidak dikenali.

"Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi semakmule untuk semakan 'scammers'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 5:02 PM