FATIMAH pada sidang media mengenai pembukaan taska dan tadika Sarawak hari ini. FOTO MELVIN JONI
FATIMAH pada sidang media mengenai pembukaan taska dan tadika Sarawak hari ini. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni

Kuching: Kerajaan Sarawak membenarkan tadika dan taska di zon merah beroperasi dengan syarat mereka membuat permohonan bagi pembukaan kepada Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK).

Menteri KWKPK Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkara itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

"Bagi tadika dan taska di bahagian lain, mereka boleh beroperasi berkuat kuasa serta merta," katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurut Fatimah, pada masa ini hanya Bahagian Kuching dikategorikan sebagai zon merah.

Bagaimanapun, beliau berkata memandangkan sektor pekerjaan dan perniagaan masih beroperasi, penutupan taska menyebabkan ibu bapa terutama barisan hadapan dan pekerja perkhidmatan penting terpaksa menghantar anak ke rumah nenek atau datuk, saudara mara atau pusat yang tidak berdaftar.

"Ini boleh membawa risiko jangkitan tinggi disebabkan tidak dipantau bagi pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Beliau menambah pengalaman juga menunjukkan bahawa kelas dalam talian bagi kanak-kanak tadika tidak berkesan kerana tanpa kehadiran dan bantuan ibu bapa di rumah.

"Ini akan menjejaskan proses pembelajaran kanak-kanak, seterusnya menyukarkan persediaan mereka untuk memasuki Tahun 1," katanya.

Sementara, Fatimah berkata bagi tadika atau tabika di bawah agensi pusat seperti Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Perpaduan, perkara ini akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya terdapat 1,123 prasekolah di bawah Jabatan Pendidikan, 1,015 tabika dan 87 taska di bawah Kemas dan 114 tabika dan empat taska di bawah Jabatan Perpaduan.

Manakala, katanya Program Intervensi Awal Kanak-kanak Berkeperluan Khas seperti Pusat Program Dalam Komuniti (PPDK), OSEIC, AGAPE dan Sunflower boleh diteruskan kerana sesi diadakan dalam kumpulan kecil.

"Terapi dan program intervensi yang berterusan penting bagi proses pemulihan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 1:45 PM