Gambar hiasan. Foto NSTP.
Gambar hiasan. Foto NSTP.
BERNAMA

Putrajaya: Sebanyak 24 Taska Genius Perpaduan (TGP) di negeri Fasa Tiga dan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan mula beroperasi secara fizikal mulai esok (3 Okt) secara berperingkat, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Menurutnya, 12 TGP di Terengganu, Sarawak, Perlis, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan akan beroperasi esok, tiga TGP di Pahang mulai 11 Okt, manakala sembilan TGP di Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka pada 18 Okt.

Sebanyak 17 TGP di negeri Fasa Dua PPN iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sabah dan Johor pula dibenarkan beroperasi dengan kelonggaran hanya bagi anak-anak dengan ibu bapa yang bekerja, katanya.

Pengoperasian secara fizikal bagi 948 Tabika Perpaduan (TP) di negeri Fasa Tiga dan Fasa Empat adalah;

TP di Terengganu, Sarawak, Perlis, Negeri Sembilan, WP Labuan dan Langkawi beroperasi mulai 3 Okt;TP di Pahang beroperasi mulai 11 Okt danTP di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka beroperasi mulai 18 Okt.

Halimah berkata, 833 TP di negeri Fasa Dua PPN pula akan beroperasi secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau berkata TP dan TGP yang beroperasi secara fizikal perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) antaranya semua pendidik perlu lengkap vaksinasi, memastikan penjarakan fizikal di luar dan dalam kelas dan melaksanakan kerja disinfeksi di premis.

"Sekiranya berlaku perubahan Fasa PPN, pengoperasian TGP dan TP perlu mengikut ketetapan fasa baharu iaitu selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa tersebut seperti mana ditetapkan dalam Garis Panduan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM)," katanya.

Kementerian akan memastikan pengoperasian tersebut tertakluk kepada pematuhan ketat Garis Panduan Penularan Covid-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan bagi Keselamatan Warga Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Garis Panduan KPM dan Garis Panduan Majlis Keselamatan Negara, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 5:33 PM