FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Lima belas Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) ditutup seminggu bermula hari ini, susulan peningkatan kes Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Hanafiah Mat berkata, penutupan itu membabitkan 1,507 kanak-kanak berikutan terdapat kes yang membabitkan kontak rapat di Taska serta penularan wabak di peringkat lokal.

Katanya, penutupan itu membabitkan Taska di Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

"Ia bagi membolehkan proses sanitasi dijalankan.

"Selain penutupan Taska, peningkatan kes jangkitan Covid-19 turut menyebabkan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan agama mengambil tindakan pantas menutup sementara operasi," katanya dihubungi hari ini.

Terdahulu, tiga sekolah di Kuala Nerus ditutup sementara diikuti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Selain itu, Wisma Darul Iman dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) turut ditutup tiga hari bermula semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 2:52 PM