Amir Mamat

Ayer Keroh: Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan bagi kontrak kerja pembekalan untuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Melaka, empat tahun lalu.

Tertuduh, Norshahril Ramlee, 39, yang menjawat jawatan Pembantu Tadbir Kanan Kemas negeri mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima suapan RM7,000 daripada Mohd Hyzery Elec sebagai upah memberikan kerja pembekalan alat ganti kelengkapan pejabat, elektrikal dan lain-lain kepada syarikat Bati Enterprise.

Tertuduh turut didakwa menerima upah RM2,500 bagi membekalkan carta organisasi jabatan, carta pergerakan pegawai dan kakitangan daripada individu sama.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 14 Mei 2016 di Menara Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan 14 November 2016 di Jalan Melor 1, Taman Peringgit Jaya dalam daerah Melaka Tengah.

NORSHAHRIL (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka atas dua pertuduhan memperolehi suapan berjumlah RM9,500 bagi kontrak kerja pembekalan untuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Melaka pada empat tahun lalu. FOTO Iqmal Haqim Rosman
NORSHAHRIL (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka atas dua pertuduhan memperolehi suapan berjumlah RM9,500 bagi kontrak kerja pembekalan untuk Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Melaka pada empat tahun lalu. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat yang mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan menanggung isteri serta tiga anak masih bersekolah, selain berdepan kesukaran mendapat pekerjaan tetap ekoran pendemik Covid-19.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap bulan ke pejabat SPRM sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan tarikh 2 Disember depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 2:04 PM