Amir Mamat


Ayer Keroh: Suami isteri didakwa di mahkamah di sini, hari ini atas tuduhan mendera dan menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di rumah di Taman Krubong Jaya, dua minggu lalu .

Tertuduh, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, dan Zuraida Atan, 32, yang juga masing-masing bapa tiri dan ibu kandung mangsa didakwa di dua mahkamah berasingan.

Bagi pertuduhan pertama di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh didakwa menyebabkan kematian terhadap kanak-kanak lelaki pada 3.32 petang 29 Januari lalu di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka Tengah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan sabit kesalahan, memperuntukkan hukuman mati.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Suami isteri terbabit turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera mangsa sama dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Kejadian itu dilaporkan berlaku antara 10.30 malam 13 Oktober tahun lalu hingga 3.32 petang 29 Januari lalu di lokasi sama.

Dakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Nariman bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan kedua-kedua kes berkenaan akan disebut semula pada 29 Mac depan sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad manakala tertuduh lelaki diwakili peguam Datuk Ahmad Musthafi Mohamad dan Muhammad Firdaus Abd Razak.

Tertuduh wanita pula diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Ab Rahman.

Pada 29 Januari lalu, kanak-kanak lelaki itu ditemui meninggal dunia dalam dalam tong air di Taman Krubong Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 11:54 AM