TUN Dr Mahathir (kanan) dan Anwar. FOTO Arkib NSTP
TUN Dr Mahathir (kanan) dan Anwar. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Ipoh: Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad hari ini meluahkan harapan supaya Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan perbezaan politik demi kepentingan negara.

Katanya, kedua-dua pemimpin itu wajar duduk semeja dan berunding bagi kebaikan negara selain merapatkan kembali Pakatan Harapan (PH).

"Jurang perbezaan antara mereka ini bagi Amanah satu keadaan yang sangat merugikan buat PH. Kali terakhir kita duduk bermesyuarat dalam PH ialah Jun lalu dan selepas itu keadaan semakin meruncing, kita tidak bertemu lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Perak kali ke-5 di sini.

Dr Mahathir adalah Pengerusi PH sebelum beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu, beberapa hari selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang mana dilaporkan berlaku ketegangan berhubung isu peralihan kuasa di antara Dr Mahathir dan Anwar untuk jawatan perdana menteri.

Isu jawatan perdana menteri kembali hangat kebelakangan ini selepas Anwar yang juga Ketua Pembangkang, dilaporkan berkata, beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk menerajui kerajaan baharu, menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekarang.

Pada Selasa lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Presiden PKR itu bagi mempersembahkan pernyataan sokongan ahli Parlimen terhadap beliau.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam kenyataan selepas itu memaklumkan Anwar tidak mengemukakan senarai ahli Parlimen yang menyokongnya.

Kenyataan itu turut menyatakan Al-Sultan Abdullah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, dalam ucapannya Khalid mengakui PH yang kini dianggotai PKR, Amanah dan Dap berdepan tugas getir untuk mengatasi PN pada pilihan raya umum akan datang.

"Dulu kita, PH hadapi Pas dan Umno secara berasingan, sekarang kita hadapi mereka dalam keadaan bersatu. Dulu Bersatu bersama kita, sekarang mereka (Pas dan Umno) bekerjasama dengan Bersatu.

"Kita kena faham suasana politik sudah berubah, setakat ini walaupun mereka berbalah tapi mereka bersatu. Mereka tahu masa dan ketika bila perlu ketepikan perbezaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 5:18 PM