GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Shah Alam: Polis Klang Utara melaksanakan dua sekatan jalan raya (SJR) dan menutup tiga jalan di sekitar Bukit Kuda dekat sini, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang, berkuat kuasa hari ini hingga 23 Oktober.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, SJR berkenaan dilakukan di hadapan premis Emy Cookies & Food dan Simpang Lorong Lintang Raksa 2, kedua-duanya di Jalan Bukit Kuda.

"Pihak polis juga akan menutup tiga jalan di kawasan Bukit Kuda iaitu Lorong Perak, Jalan Raksa 3 dan Jalan Raksa 4," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai yang ingin keluar dan masuk ke Lorong Lintang Raksa 2, Jalan Raksa 3 dan Pangsapuri Bukit Kuda perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu.

"Bagaimanapun, tiada keperluan surat kebenaran atau permit khas bagi tujuan keluar atau masuk ke kawasan lain di daerah Klang Utara setakat ini," katanya.

Nurulhuda turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi PKPB dan tindakan kompaun akan dikenakan sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) PKPB.

Orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Op Covid-19 di talian 03-3376 2400 untuk sebarang pertanyaan atau aduan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2020 @ 10:38 AM