Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas lebih 1.97 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM1.47 juta hasil rampasan di Jalan Beris Kubur Besar, Bachok, semalam.

Penolong Pegawai Pemerintah PGA7 Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, pada kejadian jam 10 pagi itu, anggota dengan kerjasama Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) membuat rondaan sebelum terserempak dengan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, lori yang dipandu seorang lelaki menghala ke Chabang Empat Tok Mek Ngah, Kota Bharu itu diekori anggotanya kira-kira sejam sebelum pemandu terbabit menyedarinya dan memecut.

"Anggota mengekori lori sehingga ke Jalan Beris Kubur Besar sebelum pemandu lori memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran.

"Usaha mengesan suspek dijalankan hampir sejam namun gagal menemuinya. Pemeriksaan ke atas lori menemui rokok terbabit.

"Rokok serta lori kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk siasatan," katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol, Briged Tenggara PGA di sini, hari ini.

Tambahnya, jumlah rampasan itu membabitkan 100 kotak mengandungi sejuta batang rokok jenama John-D-Blend dan 97 kotak berisi lebih 970,000 batang rokok jenama John yang diseludup untuk pasaran negeri ini.

"Suspek dalam perjalanan membawa rokok ini ke gudang penyimpanan barangan sebelum ia dijual secara borong kepada peniaga kecil-kecilan dan runcit.

"Rokok diseludup melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 2:19 PM
Rampasan rokok jenama john yang dipercayai diseludup dari negara jiran di sempadan Malasia-Thailand bernilai lebih RM1.4 juta ditemui di Chabang Empat Tok Mek Ngah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rampasan rokok jenama john yang dipercayai diseludup dari negara jiran di sempadan Malasia-Thailand bernilai lebih RM1.4 juta ditemui di Chabang Empat Tok Mek Ngah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR