EBIT sempat berkongsi semangat dan nasihat kepada penuntut sebelum berlepas pulang. FOTO Ihsan FB Ebit Lew.
EBIT sempat berkongsi semangat dan nasihat kepada penuntut sebelum berlepas pulang. FOTO Ihsan FB Ebit Lew.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pendakwah terkenal, Ebit Lew menyewa beberapa bas bagi membantu membawa pulang penuntut yang terkandas di institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing.

Setakat ini menerusi perkongsian di Facebook (FB) rasminya, Ebit sudah menyewa bas untuk penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim pulang ke Pantai Timur.

"Ramai pelajar mesej saya daripada pelbagai universiti disebabkan keadaan semasa yang kelas ditukar semula kepada online.

"Ramai juga yang baru daftar. Sayu dan kasihan sangat pada mereka semua. Merekalah pemimpin masa depan," katanya dalam hantaran FB dimuat naik semalam.

Malah, Ebit mengakui tanggungjawab itu dilakukan kerana menganggap penuntut seperti anaknya sendiri.

"Saya tolong sewakan bas bagi free (percuma) untuk mereka. Bas ini ke Pantai Timur dari UPSI," katanya yang turut memuat naik gambarnya mengurus kepulangan penuntut.

Beliau turut memaklumkan sedang mengatur beberapa lagi bas sewa untuk menghantar penuntut lPT lain pulang ke kampung masing-masing, antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

"Semoga Allah mudahkan dan selamatkan perjalanan adik-adik. Syukur dapat beri motivasi dan semangat pada pelajar dalam bas yang bergerak tadi. Teringat dulu masa susah di universiti," katanya.

Terdahulu, Ebit dalam akaun Instagram turut meminta penuntut terkandas untuk menghubunginya segera susulan cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya semua IPT menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran secara fizikal atau bersemuka berikutan peningkatan kes Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 11:40 AM