Muhammad Nazmi Akhmal Rahmab.
Muhammad Nazmi Akhmal Rahmab.
Noorazura Abdul Rahman


MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok mengenal pasti lebih 1,000 penuntut yang terkandas di kampus boleh pulang ke rumah masing-masing berikutan berada di zon hijau.

Secara keseluruhan, terdapat seramai 4,200 penuntut masih berada di kampus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan lebih sebulan lalu.

Pemangku Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Nazmi Akhmal Rahman berkata, penuntut terbabit akan dihantar pulang ke negeri masing-masing dengan bas yang disediakan oleh pihak universiti.

"Terima kasih kepada kerajaan terutama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana mendengar permintaan kami untuk pulang ke rumah keluarga bagi yang berada di zon hijau.

"Kami juga berharap KPT serta UUM akan terus menjaga kebajikan mereka yang tidak dapat pulang ke rumah dan perlu berada di kampus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, penuntut yang terpaksa kekal di kampus perlu akur dengan arahan kerajaan demi keselamatan dan kesihatan diri.

Katanya, mereka tidak perlu bimbang kerana segala keperluan terutama makanan untuk berbuka dan bersahur akan disediakan oleh pihak universiti dengan bantuan Jawatan kuasa Pembangunan Kepimpinan Siswa (JKPS).

"Pihak MPP sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak universiti untuk memastikan penuntut yang dibenarkan pulang mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," katanya.

Hari ini, kerajaan bersetuju membenarkan penghantaran pulang 53,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ke kampung halaman masing-masing bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penghantaran pulang itu akan berjalan secara berperingkat dan membabitkan SOP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 8:26 PM