MOHAMMAD Shatar (kiri) bersama Ebit. FOTO Ihsan Noorzali
MOHAMMAD Shatar (kiri) bersama Ebit. FOTO Ihsan Noorzali
Ihsan Noorzali

Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menjalin kerjasama dengan pendakwah terkenal, Ebit Lew terutama membabitkan perkongsian pengalaman dalam bidang sukarelawan.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, UPSI menerima surat permohonan secara rasmi daripada Ebit untuk membantu pelajarnya pulang ke kampung susulan arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) supaya semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka berikutan peningkatan kes Covid-19.

Beliau berkata, UPSI menyambut baik kehadiran Ebit untuk membantu dan menganggap kesudian Ebit ke kampus sebagai titik permulaan kolaborasi yang sihat.

Mohammad Shatar berkata, kerjasama bukan saja dalam bentuk penghantaran pelajar pulang malah perkongsian pengetahuan dalam bidang diceburi pendakwah itu.

"UPSI sememangnya menggalakkan pelajar menceburi bidang sukarelawan dan dengan pengalaman yang ada pada Ustaz Ebit, saya yakin beliau dapat membantu pelajar," katanya.

Beliau berkata, perkongsian pengalaman itu bukan saja meningkatkan ilmu pengetahuan malah kebolehpasaran graduan.

Mohammad Shatar berkata, dua bas disewa pendakwah itu semalam untuk menghantar lebih 30 pelajar pulang ke Kelantan dan Terengganu.

"Bas itu dinyahkuman oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) di perkarangan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bergerak kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustaz Ebit kerana sudi datang ke UPSI dan semoga ini memberi sinar baharu. Insya-Allah, saya yakin pada masa-masa akan datang kita akan mengadakan kerjasama untuk kebaikan bersama," katanya.

Berita berkaitan

Ebit tangguh sewa bas hantar penuntut IPT pulang kampung

Ebit Lew sewa bas hantar pulang penuntut IPT

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 11:17 AM