Noor Hidayah Tanzizi


Seri Iskandar: Hanya 872 pelatih yang 'menyerah diri' untuk menerima rawatan pemulihan penagihan dadah secara sukarela di seluruh negara tahun lalu.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, jumlah itu hanya 17 peratus daripada 4,938 penagih yang direkodkan.

Menurutnya, ia dilihat masih rendah berbanding sejumlah 11 Pusat Rawatan Pemulihan Narkotik (PUSPEN) berkonsep secara sukarela yang ada di seluruh negara.

"Daripada kajian yang dijalankan di peringkat antarabangsa juga menunjukkan mereka yang mendapatkan rawatan secara sukarela, peratus untuk kekal pulih lebih tinggi.

"Justeru itu, kita berharap dengan pengenalan dan perkongsian berhubung perkhidmatan AADK, mereka yang mempunyai masalah penagihan datang ke PUSPEN untuk mendapatkan rawatan," katanya selepas merasmikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Seri Iskandar dan Hari Terbuka AADK di sini, tadi.

Turut hadir, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin dan bekas pelatih dan penyanyi yang kini pulih daripada ketagihan dadah, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng.

PUSPEN Seri Iskandar adalah antara 31 PUSPEN kendalian AADK di seluruh negara yang berkonsepkan sukarela.

Zulkifli berkata, kurang kesedaran di kalangan ibu bapa atau keluarga antara faktor menyebabkan peratus pemulihan rawatan secara sukarela masih rendah selain tidak menolak individu itu sendiri yang tiada kesedaran dan mempunyai perasaan malu.

DATUK Seri Zulkifli Abdullah merasmikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Seri Iskandar, di sini, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DATUK Seri Zulkifli Abdullah merasmikan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Seri Iskandar, di sini, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

"Jika ada masalah ketagihan dadah tidak perlu malu dan segera mendapatkan rawatan supaya ia tidak menjadi semakin serius kerana ketika itu mereka tidak akan datang secara sukarela," katanya.

Beliau berkata, kaedah pemulihan di PUSPEN merangkumi rawatan secara bio atau perubatan, psikososial dan spiritual.

Katanya, setiap pusat pemulihan, AADK menempatkan dua Pembantu Perubatan dan Pembantu Kesihatan, selain Pegawai Perubatan yang ditempatkan di ibu pejabat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 4:52 PM