Zulkifli melawat penghuni PUSPEN yang turut membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menghasilkan Pakaian Perlindungan Diri (PPE).
Zulkifli melawat penghuni PUSPEN yang turut membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menghasilkan Pakaian Perlindungan Diri (PPE).
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

BIARPUN dalam proses pemulihan namun golongan penagih yang sedang menjalani rawatan tetap mahu menyumbang tenaga pada negara dengan menghasilkan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk petugas barisan hadapan.

Pakaian PPE yang amat diperlukan di kebanyakan hospital ini mampu mengelak petugas kesihatan dan doktor daripada dijangkiti virus Covid-19.

Usaha itu digembeling 12 penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) yang bekerjasama dengan lima kakitangan Pusat Latihan Kemahiran Vokasional (CCVC) di Sepang, Selangor.

Sehingga kini lebih 200 unit PPE dapat disiapkan dan sudah dihantar kepada pejabat kesihatan dan klinik kesihatan untuk digunakan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani wabak Covid-19 ini.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Sri Zulkifli Abdullah turut melawat dan melihat sendiri usaha dilakukan semua mereka sejak Mac lalu.

Difahamkan projek ini adalah kerjasama AADK dengan Klinik Kesihatan Seri Kembangan dan Pejabat Kesihatan Daerah Sepang, Selangor.

Zulkifli berkata, projek ini juga dalam proses dikembangkan di beberapa pusat pemulihan AADK yang mempunyai kelengkapan untuk menyediakan PPE bagi kegunaan KKM.

“Selain daripada itu PUSPEN Papar dengan kerjasama Klinik Kesihatan Papar, Sabah turut memulakan gerak kerja bersama empat penghuninya dan dibantu dua kakitangan melalui kerja tangan menghasilkan pelindung muka (face shield) sebanyak 100 unit.

“Pelindung muka itu kemudian dihantar ke KK Papar pada bagi kegunaan barisan hadapan,” katanya.

Menurutnya, sumbangan prihatin daripada pihak AADK ini sekurangnya-kurangnya dapat membantu pihak KKM dan negara amnya dalam membendung wabak Covid-19 ini di Malaysia.

“Semoga langkah ini dapat menaikkan semangat dan motivasi kesemua petugas barisan hadapan di KKM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 2:36 PM