Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Bukan menjadi amalan kebanyakan nelayan untuk ke laut ketika musim tengkujuh kerana risiko hujan, ombak besar dan boleh jadi ribut.

Namun lain pula bagi nelayan, di sini apabila menganggap musim tengkujuh sebagai rahmat berikutan hasil laut meningkat dua ke tiga kali ganda.

Ismail Mohd Yusuff, 60, yang juga nelayan di perairan Bagan Ajam, di sini sejak 16 tahun lalu berkata, dia tidak akan melepaskan peluang ke laut ketika monsun kerana hasil laut yang menambah pendapatannya sekeluarga.

"Perairan di Bagan Ajam sangat kotor kerana dicemari sampah dan menyukarkan kami mendapat hasil hingga ada (nelayan) yang sudah malas untuk turun ke laut.

"Tetapi di sini ketika musim monsun, pada masa itu hasil sangat banyak dan saya tidak melepaskan peluang untuk turun ke laut.

"Mungkin tindakan ini dianggap bahaya tetapi saya juga tidak turun sesuka hati, sebaliknya mengkaji terlebih dahulu pergerakan air dan ombak berdasarkan ilmu sepanjang bergelar nelayan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ismail mengaku mampu memperoleh hasil antara lapan ke 16 kilogram (kg), berbanding empat kilogram sahaja pada musim biasa.

Dia juga mengambil langkah keselamatan sewajarnya ketika ke laut pada monsun, termasuk memakai jaket keselamatan dan memasang lampu pada bot seperti disaran Jabatan Perikanan.

ISMAIL (kiri) meletak serta mengikat bot miliknya dengan jarak enam meter antara bot lain sebagai persiapan untuk berdepan dengan musim tengkujuh ketika tinjauan di Bagan Ajam di sini. FOTO Danial Saad
ISMAIL (kiri) meletak serta mengikat bot miliknya dengan jarak enam meter antara bot lain sebagai persiapan untuk berdepan dengan musim tengkujuh ketika tinjauan di Bagan Ajam di sini. FOTO Danial Saad

Tinjauan NSTP di Bagam Ajam mendapati kebanyakan bot ditambat pada jarak enam meter antara satu sama lain sebagai persiapan untuk berdepan dengan musim tengkujuh.

Penjarakan itu bagi mengelak bot yang ditambat berlanggar satu sama lain atau terhempas ketika ombak kuat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fasa peralihan monsun bermula esok dan dijangka berterusan hingga awal November.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 8:17 PM