DICKY tidak kisah menyumbang sebahagian keuntungan daripada acara dianjurkan kepada penghuni rumah anak yatim. FOTO ihsan Dicky Halimy Osman
DICKY tidak kisah menyumbang sebahagian keuntungan daripada acara dianjurkan kepada penghuni rumah anak yatim. FOTO ihsan Dicky Halimy Osman
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pengalaman bergelar anak yatim sejak kecil mendorong bapa tiga anak, Dicky Halimy Osman membantu golongan senasib dengan menyumbang sebahagian hasil keuntungan setiap acara dianjurkan kepada golongan berkenaan.

Bukan setakat itu, Dicky atau dikenali sebagai Prince juga aktif sebagai pemain cosplay dan gemar membuat persembahan percuma setiap kali berkunjung ke rumah anak yatim.

Berkongsi kisahnya, Dicky yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan berkata, dia mula aktif dengan kegiatan amal itu sejak empat tahun lalu iaitu selepas giat menganjurkan pelbagai acara amal khususnya untuk kanak-kanak secara sepenuh masa.

Katanya, selain meringankan beban, niatnya untuk menghiburkan dan membawa aura positif supaya kanak-kanak itu rasa dihargai dan tidak tersisih.

"Ayah meninggal dunia ketika saya berumur tujuh tahun dan sejak itu, ibu yang mengambil alih tanggungjawab membesarkan saya dan kakak.

"Biarpun membesar tanpa ayah, ramai yang membantu dan ia membuatkan saya rasa dihargai dan kini, tiba masa saya pula untuk menolong anak yatim lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Dicky, sebelum menganjurkan acara sendiri, dia sering turut serta dalam program khidmat masyarakat anjuran kelab kereta dan motosikal antaranya lawatan ke rumah anak yatim.

DICKY Halimy Osman aktif sebagai pemain cosplay dan giat menganjurkan acara amal. FOTO ihsan Dicky Halimy Osman
DICKY Halimy Osman aktif sebagai pemain cosplay dan giat menganjurkan acara amal. FOTO ihsan Dicky Halimy Osman

"Daripada situ, saya bertemu dengan ramai penghuni anak yatim dan lama kelamaan, timbul keinginan untuk menceriakan mereka.

"Jadi, pada satu hari, saya datang ke rumah anak yatim dengan memakai helmet (topi keledar) Star Wars.

"Walaupun tanpa kostum lengkap, mereka kelihatan sangat teruja dengan kehadiran saya. Itulah permulaan saya aktif sebagai pemain cosplay amal dan sehingga kini sudah mengumpul lebih 50 kostum pelbagai karakter adiwira seperti Spiderman, Batman, Ninja Turtle dan Captain America," katanya.

Bercerita lanjut, Dicky berkata, dia tidak berseorangan menganjurkan acara amal sebaliknya dibantu isteri, Natasha Emelia Laila Abd Rahman ,32, yang sentiasa ada bersamanya.

"Sebelum ini, hampir setiap bulan saya akan menganjurkan acara amal khususnya untuk kanak-kanak tetapi terpaksa berehat selama lebih tiga bulan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

"Baru-baru ini, acara sama diteruskan dan seperti kebiasaan, sebahagian wang bayaran untuk tapak niaga dan yuran aktiviti akan disumbangkan ke rumah anak yatim.

"Lazimnya, saya akan memilih rumah anak yatim yang paling hampir dengan lokasi acara sebagai penerima sumbangan bagi memudahkan pihak pengurusan serta penghuni datang ke acara atau kami berkunjung ke tempat mereka," katanya.

Bekas penerbit rancangan sebuah stesen televisyen itu berkata, ada yang mengatakan tindakannya menyumbang sebahagian keuntungan dengan kerap tidak berbaloi dan merugikannya sebagai penganjur acara.

"Menganjurkan sesebuah acara memang penat dan saya tidak menafikannya tetapi rasa puas apabila dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

"Malah, saya jadi bertambah gembira apabila anak mula cenderung membantu orang susah yang mereka jumpa di luar walaupun masih kecil.

"Biarlah apa orang nak kata, yang penting saya gembira dan akan terus berkongsi rezeki selagi mampu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 5:59 PM