MOHD Shaifuddin aktif sebagai pemain cosplay bermula dengan memakai kostum Kamen Rider. FOTO ihsan Mohd Shaifuddin Rahmat
MOHD Shaifuddin aktif sebagai pemain cosplay bermula dengan memakai kostum Kamen Rider. FOTO ihsan Mohd Shaifuddin Rahmat
Redzuan Muharam


KESIBUKAN tugas sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) tidak menghalang bapa dua anak, Mohd Shaifuddin Rahmat, 37, untuk bergiat aktif sebagai pemain cosplay adiwira pada hujung minggu.

Pembabitan dalam aktiviti itu bukan saja didorong oleh minat, keinginan mengisi masa lapang atau mencari pendapatan sampingan malah sebagai satu cara untuk melakukan kerja amal.

"Ada kalanya, kutipan diterima digunakan untuk membantu golongan kurang bernasib baik terutama pesakit yang memerlukan rawatan segera," katanya.

Bercerita lanjut, Mohd Shaifuddin berkata, dia asalnya adalah pembekal, peniaga dan pengumpul figura mainan sieperti Kamen Rider dan banyak lagi.

MOHD Shaifuddin aktif sebagai pemain cosplay bermula dengan memakai kostum Kamen Rider. FOTO ihsan Mohd Shaifuddin Rahmat
MOHD Shaifuddin aktif sebagai pemain cosplay bermula dengan memakai kostum Kamen Rider. FOTO ihsan Mohd Shaifuddin Rahmat

Namun, percubaan kali pertama sebagai pemain cosplay dalam sebuah acara mendorongnya untuk terus aktif dalam bidang itu.

Kini, tapak niaga di B5 Johor Street Market, Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor menjadi tempatnya membuat pertunjukan setiap dua minggu.

"Segalanya bermula selepas saya dipelawa seorang rakan untuk turut serta membuat persembahan cosplay di sebuah acara di Kilang Bateri, Johor Bahru pada 2016.

"Kebetulan, saya memiliki sut Kamen Rider, jadi saya rasakan ia masa sesuai untuk menggunakannya kerana sebelum itu, ia hanya disimpan sebagai koleksi saja," katanya.

MOHD Shaifuddin aktif sebagai pemain cosplay bermula dengan memakai kostum Kamen Rider. FOTO ihsan Mohd Shaifuddin Rahmat
MOHD Shaifuddin aktif sebagai pemain cosplay bermula dengan memakai kostum Kamen Rider. FOTO ihsan Mohd Shaifuddin Rahmat

Menurut Mohd Shaifuddin, pada mulanya, dia memang gementar namun lama kelamaan, dia mula seronok melakukan tugas berkenaan.

Bertitik tolak daripada itu, Mohd Shaifuddin terus aktif dalam persembahan cosplay terutama berkaitan dengan program amal dengan niat menceriakan mereka yang kurang bernasib baik.

Katanya, aktiviti itu dilaksanakan secara solo dan ada kalanya bersama pemain cosplay lain terdiri daripada pelbagai kaum di sekitar Johor Bahru.

"Sejak awal pembabitan, saya sudah menubuhkan komuniti dinamakan 'LoL Cosplay'. Aktiviti dijalankan memberi tumpuan kepada golongan gelandangan, asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.

"Selain membuat persembahan, kami turut membuat kutipan dengan harapan dana diperoleh nanti akan meringankan beban mereka yang memerlukan," katanya.

Antara program pernah diadakan ialah Jalinan Kasih pada Januari lalu untuk Rayyana Puteri Jeffri, kanak-kanak berusia sembilan tahun yang menghidap barah tulang (Erwing Sarcoma) di Bazar Karat, Johor Bahru.

"Ia menghimpunkan ramai pemain cosplay dan berjaya mengumpul RM7,000 yang kemudiannya diserahkan kepada keluarga Rayyana," katanya yang bertugas di Hospital Permai, Johor Bahru.

MOHD Shaifuddin bersama isterinya Mawartinakancanawati Abdul Rahim yang banyak memberi sokongan. FOTO ihsan Mohd Shaifuddin Rahmat
MOHD Shaifuddin bersama isterinya Mawartinakancanawati Abdul Rahim yang banyak memberi sokongan. FOTO ihsan Mohd Shaifuddin Rahmat

Terbaru, Mohd Shaifuddin berkata, dia cuba membantu pesakit Scoliosis atau tulang belakang

bengkok, Siti Noraini Abdullah, 12, mendapatkan dana untuk menjalani pembedahan tetapi menerusi hebahan di Facebook (FB) saja.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, program amal dirancang terpaksa ditangguhkan.

"Sepanjang empat tahun ini, pelbagai acara diadakan seperti 'Komtar JBCC Cosplay Contest', 'Cosfun', 'Youth Heroes Cosplay' dan Gelandangan bersama NGO Restu Ikhlas Johor.

"Misi saya adalah untuk menaikkan industri cosplay ke peringkat lebih tinggi supaya masyarakat

tahu aktiviti ini bukan sekadar satu hobi tetapi lebih daripada itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 6:10 PM