LAPORAN Portal Harian Metro.
LAPORAN Portal Harian Metro.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: "Mana-mana agensi penguat kuasa tidak akan berkompromi mengenai petualang dalam agensi. Itu memang tindakan baik," kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau mengulas tindakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menangkap dua anggota Balai Polis Kuah, Langkawi kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah di pulau peranginan itu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, masalah dadah tidak boleh dilihat daripada perspektif agensi penguat kuasa atau dituding kepada pihak tertentu sahaja, sebaliknya perlu lebih menyeluruh dari segi permintaan dan bekalan dadah.

"Pada saya itu (petualang dalam agensi) bukanlah faktor utama kegagalan menangani masalah dadah. Yang menyebabkannya gagal adalah kurang kerjasama daripada semua pihak.

"Semua fasa perlu dilihat daripada anak kecil dengan keluarga, peringkat sekolah, universiti, tempat kerja dan jika penagih yang sudah pulih, bagaimana pula dengan stigma masyarakat.

"Perkara sebegini perlu dilihat dengan serius. Tetapi kalau kita boleh bersihkan semua masalah dalaman membabitkan petualang, itu akan memberikan hasil yang lebih baik," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program 'We Love, We Serve, We Hope' anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.

Menurutnya, Langkawi di Kedah antara empat daerah di negara ini yang diletakkan dalam status merah dalam kawasan berisiko tinggi (KBT) penyalahgunaan dadah di bawah model projek rintis AADK sejak tahun lalu.

Selain Langkawi, katanya, Petaling Jaya Selatan di Selangor, Kuala Dungun di Terengganu dan Pengkalan Chepa di Kelantan masih dalam zon merah yang mana pihaknya akan memberi perhatian sehingga akhir tahun ini bagi membasmi aktiviti penyalahgunaan dadah sepenuhnya.

"Di Langkawi memang ada isu. Contohnya beberapa penempatan seperti Bukit Malut, Taman Nilam, Pulau Tuba... Ini semua kawasan yang agak sukar kerana penempatan yang sempit dan sebagainya.

"Jadi ia memberi ruang kepada sindiket dadah memasuki membawa dadah dari laut, pegawai daerah yang dilantik sebagai penyelaras projek rintis AADK sedang mengaturkan beberapa tindakan.

"Tetapi penularan terbaru Covid-19 di Kedah ini menimbulkan sedikit gangguan. Tetapi saya percaya, pegawai daerah bersama agensi penguat kuasa di sana akan meneruskan dengan tindakan tertentu," katanya.

Beliau berkata, masalah dadah di Langkawi juga berkait rapat dengan kedudukan pulau itu.

Katanya, kemasukan dadah bukan sahaja melalui jalan sah malah kemungkinan dibawa jalan haram termasuk bot asing yang singgah selain bot nelayan tempatan.

"Itu sebab Langkawi lebih mencabar. Kita akan cuba lagi, sekurang-kurangnya jika tak bertukar status hijau, ia akan menjadi status kuning.

"Gabungan semua agensi akan diperhebatkan supaya masalah dadah ini dapat ditangani dengan baik," katanya.

Laporan bersiri Skuad Khas Harian Metro berkaitan isu dadah Langkawi disiarkan di muka depan akhbar ini pada 3 September lalu yang membongkar kegiatan penagihan dan penjualan dadah membabitkan tokan kecil didakwa dikawal anggota polis dikenali sebagai Mr N.

Isu itu mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengakui beliau menyedari kegiatan berkenaan namun memberitahu pihaknya sudah mengambil beberapa langkah drastik untuk mengatasinya.

Pendedahan diteruskan apabila akhbar ini menyiarkan kes meragukan membabitkan kebakaran kediaman Pablo Escobar Langkawi atau Mat Nahar yang maut dan juga dikatakan antara tokan yang dilindungi polis.

Turut maut dalam tragedi kebakaran itu adalah isteri dan anak lelaki Pablo Escobar Langkawi berkenaan.

Siri ketiga disiarkan Harian Metro memaparkan antara modus operandi sindiket adalah dadah diseludup dari negara jiran terutama sebab banyak pulau tidak berpenghuni di perairan berkenaan.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan penahanan dua anggota Balai Polis Kuah, Langkawi kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di pulau peranginan itu.

Dua lelaki tempatan dipercayai tokan dadah turut ditahan dengan semua mereka itu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan Harian Metro turut melaporkan dalam siaran muka depan bertajuk Rangkaian Dadah Langkawi Digempur pada 10 September lalu.

Berita berkaitan:

  • Mat Salam tumpas, Mapler ghaib
  • Perlu operasi bersepadu banteras dadah, judi

    Bersihkan Langkawi daripada unsur negatif - PPMM

    Siasatan kes dadah di Langkawi dibuat secara menyeluruh

    Bebaskan bumi Langkawi dari dadah

    Langkah drastik atasi kartel di Langkawi

    Bebaskan bumi Langkawi dari dadah

    Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 4:27 PM