Jika ada individu yang memakai gelang kuarantin (warna merah jambu, merah, putih, biru dan kuning) berada di kawasan umum, ia perlu dilaporkan kepada pihak polis bagi melindungi masyarakat daripada risiko jangkitan. FOTO Dr Noor Hisham Abdullah
Jika ada individu yang memakai gelang kuarantin (warna merah jambu, merah, putih, biru dan kuning) berada di kawasan umum, ia perlu dilaporkan kepada pihak polis bagi melindungi masyarakat daripada risiko jangkitan. FOTO Dr Noor Hisham Abdullah
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Selain gelang berwarna merah jambu, terdapat juga gelang berwarna putih, biru, merah atau kuning yang digunakan terhadap individu yang dikuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, gelang kuarantin adalah tanda dipakaikan kepada individu di bawah pengawasan seperti kontak rapat kes positif, pengembara pulang dari luar negara atau individu yang berada dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) secara pentadbiran.

"Pemakaian warna gelang kepada individu yang perlu dikuarantin tertakluk kepada stok di kawasan setempat dan penentuan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Tempat dan tarikh saringan dilakukan akan ditulis pada gelang itu.

"Individu yang dipakaikan gelang kuarantin ini tidak boleh keluar rumah sehingga tempoh kuarantin tamat kecuali bagi ketua keluarga boleh dipotong oleh Pejabat Kesihatan Daerah yang terbabit selepas tempoh kuarantin tamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jika masih terdapat individu memakai gelang kuarantin berada di kawasan umum, orang ramai boleh melaporkan perkara itu kepada pihak polis bagi melindungi masyarakat daripada risiko penularan Covid-19.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat berterima kasih di atas keprihatinan masyarakat mengambil peranan sebagai barisan hadapan di kawasan masing-masing dengan bertindak melaporkan individu memakai gelang kuarantin yang berada di tempat umum.

"Individu yang ingkar arahan ini boleh mendatangkan bahaya kepada masyarakat di sekelilingnya. Kepatuhan individu yang dipakaikan gelang kuarantin untuk kekal berada di rumah sangat dihargai oleh KKM," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, setiap individu daripada semua peringkat dan lapisan masyarakat mempunyai dan perlu memainkan peranan masing-masing dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) serta nasihat dikeluarkan kerajaan.

"Ini amat penting kerana ia dapat membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara. Amalan penjarakan fizikal, kerap menjaga kebersihan tangan dan mencuci tangan dengan air dan sabun, pemakaian pelitup muka di tempat awam dan tempat sesak perlu dilaksanakan pada setiap masa.

"Hanya dengan kerjasama semua lapisan dan peringkat masyarakat, kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 8:26 PM