GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di kediaman masing-masing bakal dipakaikan peranti pengesanan dengan teknologi terkini.

Peruntukan baharu iaitu Seksyen 15A, adalah antara lima peruntukan baharu dan lima peruntukan sedia ada dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang dimasukkan dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bakal berkuatkuasa bermula 11 Mac ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan media bersama berkata, peruntukan Seksyen 15A itu terpakai dalam pengawalan pergerakan orang yang dijangkiti atau mereka yang disyaki (PUI) dijangkiti penyakit berjangkit atau kontak kepada kes (PUS) dan diarahkan oleh pegawai diberi kuasa untuk menjalani pengasingan bagi pengawasan dan pemerhatian.

Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, pemakaian gelang tangan atau gelang pengawasan yang digunakan semasa wabak Covid-19 ini dikuatkuasakan mengikut peraturan 9(3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 9) 2020.

"Bawah Ordinan ini, penalti akan dikenakan ke atas individu yang dipakaikan peranti pengesanan atau alat pengesanan ini sekiranya alat tersebut dimusnahkan, dirosakkan, dihilangkan atau diubah," katanya.

Takiyuddin berkata, berbeza dengan gelang pengawasan yang digunakan ketika ini, peranti pengesanan yang bakal digunakan seperti yang dipasangkan dalam kes di penjara.

"Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyediakan peranti untuk mengesan pergerakan pesakit terbabit," katanya.

Selain itu, Dr Adham berkata, penggunaan peranti tidak dipakaikan bagi pesakit yang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau di hospital sebaliknya mereka akan memakai gelang pengawasan seperti biasa kerana pengawasan di kedua-dua premis itu adalah lebih mudah.

Katanya, ketika ini Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memuktamadkan jenis peranti yang bakal digunapakai, sebelum penguatkuasaannya pada 11 Mac ini.

"Terdapat model yang digunakan di negara luar. MKN akan muktamadkan jenis peranti itu sebelum 11 Mac ini. Setiap pesakit akan dipakaikan peranti itu selama 10 hari dan ia boleh bertahan untuk tempoh itu," katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, 10 peruntukan itu dimasukkan dalam Ordinan Darurat terbabit berikutan terdapat keperluan segera semasa Proklamasi Darurat yang mana mengambil masa jika melalui proses biasa Sidang Parlimen.

Beliau berkata, kerajaan mengambil berat dan amat komited kepada usaha berterusan untuk mencegah dan mengawal penularan wabak Covid-19 manakala penguatkuasaan undang-undang sepanjang tempoh wabak berperanan penting dalam melancarkan pelaksanaan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan jangkitan Covid-19 di dalam negara.

Justeru, katanya, banyak peraturan baharu mengikut Akta 342 sudah digubal yang hanya berkuatkuasa bagi satu tempoh yang dinyatakan bawah subseksyen 11(1) berkaitan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan.

"Antara peraturan yang dibuat adalah berkaitan langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan; penetapan fi dan caj; serta layanan perubatan dan penyaraan orang yang dipindahkan ke stesen kuarantin.

"Susulan pengisytiharan darurat oleh Kebawah DYMM Yang Dipertuan Agong, pada 11 Januari 2021, Kementerian Kesihatan sudah meneliti dan membuat cadangan pindaan ke atas Akta 342 melalui seksyen 16 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 bertujuan menambah baik Akta 342 secara khusus bagi memastikan wabak Covid-19 berjaya ditangani.

"Ia juga bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta 342 dalam membendung penularan wabak Covid-19 semasa tempoh darurat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 3:22 PM