Fatimah (tengah) bercakap pada sidang media. FOTO  Melvin Joni
Fatimah (tengah) bercakap pada sidang media. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


Kuching: Individu di Sarawak yang mendapat perintah kuarantin di rumah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendapat bantuan makanan bermula 24 Mei ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

"Kadar bantuan yang diputuskan adalah RM50 seorang untuk tempoh selama 14 hari maksima.

"Individu yang mendapat perintah kuarantin di rumah dan memakai gelang putih daripada KKM layak menerima bantuan ini.

"Individu yang masih menjalani perintah kuarantin di rumah pada tarikh 24 Mei 2021 adalah layak diberikan bantuan ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, senarai barangan yang dipertimbangkan merangkumi beras (5kg), gula, biskut kering, mee segera, kopi / teh, makanan dalam tin, garam, telur dan minyak masak.

Bagaimanapun, Fatimah berkata, bantuan ini tidak terpakai bagi kanak-kanak yang berumur empat tahun ke bawah.

Katanya keperluan bagi kanak-kanak empat tahun ke bawah adalah susu bayi / Milo (berdasarkan keperluan), biskut kering dan lampin pakai buang.

Selain itu, beliau berkata, keperluan khas bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas pula adalah susu dan lampin pakai buang.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak akan sentiasa memastikan bekalan bantuan makanan ini mencukupi selari dengan keperluan semasa.

"Kupon Food Aid" akan disertakan bersama perintah kuarantin oleh KKM," katanya.

Fatimah menambah bagi Bahagian Kuching, kaedah pandu lalu akan digunakan di Pusat Sehenti Covid-19.

Manakala bagi bahagian lain, beliau berkata, penyelarasan akan dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) iaitu sama ada menggunakan kaedah pusat pengumpulan/ tempat perintah kuarantin itu dikeluarkan atau berdasarkan kepada kemudahan yang ada di tempat berkenaan.

"Jika perintah kuarantin dihantar ke rumah, petugas daripada JKM Bahagian akan bersama-sama dengan petugas KKM untuk menghantar bantuan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 11:05 AM