Ibrahim Isa


SUAMI isteri berstatus penduduk tetap (PR) antara 16 individu ditahan polis kerana terbabit dengan kegiatan judi dan sabung ayam di belakang rumah di Jalan Pisang Nangka, Kangkar Pulai, Johor, 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, semua yang ditahan itu berusia antara 27 hingga 73 tahun termasuk tiga wanita warga Indonesia dan tujuh lelaki warga negara sama.

Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri dan Balai Polis Kangkar Pulai hasil maklumat orang ramai yang mendakwa tanah di belakang rumah penganjur itu diadakan perjudian haram dan sabung ayam setiap hujung minggu.

“Sebaik menerima aduan orang ramai, kami melakukan intipan dan hasil siasatan kami dapati mereka sudah beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan pelanggan atau pemain terdiri daripada rakan-rakan yang juga penduduk tempatan pelbagai bangsa.

“Selain itu, kami dapati mereka berhubung menggunakan WhatsApp untuk menghebahkan aktiviti berkenaan di kalangan rakan-rakan kebanyakannya buruh dan peniaga.

“Ketika melakukan serbuan semalam, 15 individu termasuk enam lelaki warga Indonesia asyik berjudi dan menyabung ayam masing-masing ditahan, namun penganjur yang juga tuan rumah sempat melarikan diri,” katanya pada sidang media di Balai Polis Kangkar Pulai, hari ini.

Menurutnya, lelaki berusia awal 50-an itu bagaimanapun berjaya ditahan di rumahnya kira-kira 10 pagi ini.

Katanya, hasil serbuan itu, pihaknya merampas 17 ayam sabung, dua sangkar kosong, satu gelanggang laga ayam bersama dua besi pengikat dan dua karpet masing-masing satu berwarna merah dan kuning yang digunakan sebagai alas gelanggang berkenaan.

ANGGOTA polis memberi makan ayam sabung yang dirampas dalam serbuan di sebuah kampung di Jalan Pisang Nangka, Kangkar Pulai. FOTO Zain Ahmed
ANGGOTA polis memberi makan ayam sabung yang dirampas dalam serbuan di sebuah kampung di Jalan Pisang Nangka, Kangkar Pulai. FOTO Zain Ahmed

Noor Hashim berkata, selain itu pihaknya merampas satu keping singkolak (kertas tertera nombor), satu cawan kecil, satu piring kecil, satu dadu serta wang tunai berjumlah RM1,394 dipercayai hasil taruhan judi berkenaan.

“Hasil siasatan, kami dapati semua ayam berkenaan dibeli dengan harga antara RM500 hingga RM8,000 dari beberapa tempat termasuk negara jiran dengan nilai rampasan ayam kira-kira RM16,000.

“Aktiviti ini berlarutan hampir tiga bulan lalu dan mereka biasanya akan bermula kira-kira 8 malam dengan setiap pertaruhan antara RM100 hingga RM500, manakala perjudian pula bermula serendah RM1 hingga RM10 bagi setiap pusingan dan hasil penganjuran satu malam mencecah antara RM15,000 hingga RM20,000.

“Dalam serbuan itu, kami dapati 12 individu yang ditahan adalah pelanggan, manakala tiga wanita yang juga warga Indonesia termasuk isteri penganjur bertindak sebagai pembantu penganjur berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000, penjara maksimum 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Binatang 1953, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM200, penjara sehingga 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Kami juga menjalankan siasatan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen kerana pelbagai kesalahan imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 3:18 PM