Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Pelik jumlah bil air sebuah hospital rehabilitasi swasta di sini, yang minimum setiap bulan membongkar perbuatan curi air dilakukan hospital itu.

Hospital itu dipercayai mengambil air dari pili bomba terletak di luar premis untuk kegunaan operasi harian sejak dua tahun lalu.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dibongkar oleh Air Selangor yang melakukan pemeriksaan ke atas bil air premis itu sebelum melaporkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk tindakan lanjut.

Eksekutif Kanan Unit Komunikasi Korporat SPAN Loh Pit Mui berkata, aduan yang diterima mengenai penggunaan air tidak setara dengan operasi premis.

"Bertindak atas aduan itu, SPAN menjalankan pemeriksaan mengejut di lokasi hari ini dan mendapati premis menggunakan bekalan air terus dari pili bomba.

"Premis ini mempunyai meter sah tapi air hanya disalurkan ke tandas sahaja bukan disalurkan ke tangki yang digunakan untuk operasi setiap hari.

"Sebaliknya mereka menggunakan air dari pili bomba untuk operasi harian sedangkan ia hanya boleh digunakan oleh pasukan bomba untuk tujuan memadamkan kebakaran," katanya.

LOH Pit Mui (kiri) memeriksa paip sambungan haram semasa Operasi Penguatkuasaan Kes Sambungan Haram. FOTO Genes Viozee Gulitah
LOH Pit Mui (kiri) memeriksa paip sambungan haram semasa Operasi Penguatkuasaan Kes Sambungan Haram. FOTO Genes Viozee Gulitah

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan operasi penguatkuasaan di premis berkenaan, hari ini.

Mengulas lanjut, Pit Mui berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 126(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Katanya, operasi dilakukan itu juga sebagai langkah berterusan SPAN bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan mengenai penggunaan air di premis itu.

"Berdasarkan rekod bil, kita syaki premis melakukan perbuatan itu sejak Julai 2018 membabitkan penggunaan 58,000 meter padu dengan jumlah kerugian RM134,000," katanya.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan menuntut kerugian terbabit daripada premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 4:06 PM