GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Masih ramai masyarakat Islam di negara ini kurang pengetahuan dalam ilmu pengurusan harta pusaka menyebabkan berlakunya pertikaian sehingga tercetus konflik perebutan harta.

Pengarah Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan, Baharuddin Aziz berkata, pengetahuan mengenai tertib pengurusan harta penting bagi memastikan pembahagian mengikut ketetapan dalam Islam.

Katanya, harta pusaka adalah peninggalan si mati yang perlu diuruskan waris masih hidup dengan tertib.

"Proses pengagihan harta menjadi lebih rumit sekiranya berlaku isu waris bertindih, penipuan dan pertikaian dalam kalangan waris.

"Selain itu, kebanyakan masyarakat juga beranggapan wasiat kepada waris adalah memberi hak terus kepada waris.

"Jika waris lain tidak bersetuju, maka wasiat itu tidak boleh dilaksanakan dan perlu mengikut faraid," katanya sambil menambah sistem faraid wajib dipatuhi waris.

Beliau berkata demikian semasa pembentangan Kursus Pengurusan Harta Keluarga Islam Siri 2020 di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.

Baharuddin berkata, banyak kes wasiat kepada waris apabila dibawa ke Pejabat Pusaka tidak dipersetujui waris lain menyebabkan wasiat tidak dapat dilaksanakan mengikut kehendak si mati.

Malah, katanya, ejen wasiat tidak memperjelaskan keadaan sebenar kepada masyarakat mengenai wasiat sekadar untuk menjual produk saja.

Untuk rekod, sebanyak 44,805 permohonan pengurusan pusaka diterima JKPTG membabitkan 262,226 waris sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 18,212 kes berjaya diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 5:44 PM