Suriany Awaludin

Bolehkah sekiranya semua wang simpanan dan harta milik saya diwasiatkan untuk diberikan kepada isteri dan anak-anak saja tanpa melalui faraid?

Man, Seremban, Negeri Sembilan

Dalam Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004 (No 5/2004), wasiat adalah ikrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak selepas dia mati.

Wasiat itu hendaklah memenuhi semua syarat dan rukun yang ditetapkan.

Salah satu daripada rukun wasiat yang sah adalah penerima wasiat.

Benefisiari atau penerima wasiat adalah orang atau kumpulan sama ada diperbadankan atau tidak diperbadankan yang menerima faedah daripada sesuatu wasiat dan berhubungan dengan hasil daripada sesuatu wasiat termasuklah suatu tujuan agama atau kebajikan yang tidak bertentangan dengan hukum syarak (Seksyen 2, Enakmen Wasiat Orang Islam Negeri Sembilan 2004.

Seseorang benefisiari wasiat mestilah memenuhi syarat tertentu bagi memastikan ia memenuhi kehendak syarak iaitu wujud pada waktu wasiat dibuat, diketahui siapakah yang menjadi benefisiari dan berkeupayaan untuk memiliki harta sama ada orang dewasa, kanak-kanak, sempurna akal, tidak siuman, bahkan janin dalam kandungan yang dilahirkan hidup kurang daripada enam bulan selepas wasiat dibuat.

Jika seseorang benefisiari mati sebelum kematian pewasiat, maka wasiat itu dianggap terbatal.

Seseorang benefisiari wasiat itu juga mestilah bukan pembunuh kepada pewasiat.

Bagaimana pula jika penerima wasiat itu adalah waris (orang layak menerima pusaka secara faraid kepada si pewasiat)?

Boleh atau tidak harta diwasiatkan kepada waris ini? Dalam hadis Rasulullah SAW diriwayatkan daripada Abi Umamah al-Bahili yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT memberi setiap orang yang mempunyai hak akan haknya, oleh kerana itu tidak harus berwasiat kepada waris.”

Berdasarkan hadis itu, wasiat kepada waris tertentu tanpa mengira kuantiti dan kadar wasiat tidak boleh dilaksanakan melainkan mendapat persetujuan daripada waris lain yang ada pada ketika kematian pewasiat.

Sebaliknya, jika persetujuan gagal diperoleh, wasiat itu dianggap terbatal.

Wasiat kepada waris yang dilaksanakan hasil daripada persetujuan waris lain dalam konteks ini adalah sama kesannya dengan wasiat kepada bukan waris.

Syarat bagi waris (atau waris-waris) yang memberi persetujuan terhadap wasiat yang diberikan kepada waris tertentu adalah seperti berikut:

1. Waris yang memberi persetujuan itu mestilah tergolong daripada orang yang berkeahlian untuk melakukan tabarru’ iaitu baligh, berakal, tidak disekat tasarrufnya (mahjur ‘alayh) kerana bodoh, dungu atau dalam keadaan sakit mati.

Oleh kerana itu, persetujuan dibuat waris kanak-kanak, gila dan kurang akal adalah tidak sah.

Termasuk juga dalam hal itu adalah persetujuan dilakukan oleh wali mereka.

Fuqaha daripada mazhab Shafi‘i menambah, waris yang memberikan persetujuannya itu mestilah tahu mengenai harta yang diwasiatkan.

Tidak sah persetujuan jika waris yang bersetuju wasiat itu sendiri tidak mengetahui harta yang diwasiatkan.

Persetujuan waris mestilah dilakukan selepas kematian pewasiat.

Persetujuan yang diperoleh ketika pewasiat masih hidup adalah tidak sah.

Persetujuan yang dilakukan ketika pewasiat masih hidup boleh ditarik semula selepas kematian pewasiat dan itu akan menyebabkan wasiat menjadi batal.

Dua syarat itu selain terpakai kepada kes wasiat kepada waris, juga terpakai kepada wasiat yang melebihi satu pertiga daripada harta pewasiat.

Ijmak bersepakat, kadar maksimum harta yang dibenarkan untuk berwasiat ialah sepertiga harta pusaka selepas diselesaikan segala urusan mengenai jenazah dan pembayaran hutang.

Ia berdasarkan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Sa‘ad bin Abi Waqqas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sepertiga, (namun) sepertiganya itu sudah cukup banyak. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan para ahli warismu dalam keadaan kaya (cukup) itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin sehingga meminta-minta kepada orang lain.”

Penetapan kadar maksimum bagi pemberian wasiat itu adalah bagi menjaga kepentingan waris pewasiat kerana masing-masing mempunyai hak ke atas bahagian harta peninggalan itu.

Walau bagaimanapun, pemberian wasiat yang melebihi kadar sepertiga harta dibenarkan dengan syarat mendapat kebenaran daripada waris.

Wujudnya kadar maksimum untuk berwasiat itu membezakan antara sistem wasiat Islam dengan sistem wasiat lainnya.

Kesimpulannya, jika tuan berhasrat mewasiatkan semua harta tuan kepada isteri dan anak-anak saja, perlu dipastikan syarat yang dinyatakan mendapat persetujuan semua waris.

Jika kadar harta yang hendak diwasiatkan itu melebihi satu pertiga, juga perlu mendapat persetujuan semua waris yang lain.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 2:57 PM