MENURUT Mazhab Syafii, harta pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati secara umum atau mutlak.
MENURUT Mazhab Syafii, harta pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati secara umum atau mutlak.
Amirulhakim Ahmad Nadzri

Setiap makhluk yang hidup pasti akan mati, termasuk juga manusia. Setelah manusia meninggal dunia, mereka akan meninggalkan harta yang dipanggil harta pusaka.

Menurut Mazhab Syafii, harta pusaka bermaksud sesuatu yang ditinggalkan oleh si mati secara umum atau mutlak, sama ada yang ditinggalkan oleh si mati itu berupa harta benda ataupun hak. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang meninggalkan sesuatu hak atau harta, maka hak atau harta itu adalah untuk ahli warisnya selepas matinya." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Mengenai hal berkaitan harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati, berlaku kesalahfahaman atau kecelaruan dalam masyarakat mengenai pengurusannya. Hal ini kerana kebanyakan masyarakat memahami bahawa harta pusaka peninggalan si mati hanya wajib dibahagikan kepada ahli waris (faraid), sedangkan dalam undang-undang Islam terdapat kewajipan lain ke atas harta pusaka sebelum harta itu dibahagikan kepada ahli waris yang berhak menerima.

Berikut adalah hak berkaitan harta pusaka yang ditinggalkan si mati.

Pertama, perbelanjaan pengebumiaan atau pengurusan jenazah. Perbelanjaan itu merangkumi proses memandi, kafan, mengebumi dan segala perbelanjaan yang diperlukan untuk menguruskan jenazah sehingga selesai pengebumian.

Segala perbelanjaan itu diambil daripada harta peninggalan si mati tanpa berlebih-lebihan dan tidak menyulitkan orang lain. Biaya itu diambil daripada harta pusaka (harta yang ditinggalkan oleh si mati) dan jika si mati tidak meninggalkan harta, ia ditanggung oleh orang yang bertanggungjawab atas nafkahnya ketika dia hidup.

Kedua, hutang yang dimiliki oleh si mati boleh diambil daripada hartanya setelah selesai pengurusan jenazah. Ulama sepakat mengatakan segala hutang dengan orang lain perlu dijelaskan sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan. Bagaimanapun, ulama berselisih pendapat mengenai hutang terhadap Allah seperti zakat, kafarah dan nazar. Jumhur ulama pula mengatakan bahawa hutang terhadap Allah wajib dijelaskan sebagaimana hutang terhadap manusia walaupun si mati tidak berwasiat.

Ketiga, pelaksanaan wasiat. Segala wasiat yang dibuat oleh si mati semasa hidupnya perlu dilaksanakan dalam lingkungan satu pertiga daripada baki harta pusaka setelah selesai perbelanjaan pengebumian dan pelunasan hutang serta wasiat dibuat bukan kepada waris yang berhak menerima pusaka. Hal ini didasarkan dengan ayat al-Quran dalam Surah an-Nisa ayat 11 yang bermaksud: "(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya." Wasiat yang melebihi satu pertiga perlu mendapat persetujuan ahli waris begitu juga jika wasiat kepada ahli waris.

Keempat, pembahagian harta sepencarian. Sebelum harta pusaka dibahagikan kepada waris yang berhak, tuntutan harta sepencarian perlu diselesaikan terlebih dahulu jika pasangan membuat tuntutan. Hal ini kerana keputusan berkaitan tuntutan harta sepencarian akan menentukan setakat mana sesuatu harta itu kepunyaan si mati untuk dibahagikan mengikut hukum faraid. Menurut Almarhum Prof Dr Wahbah al-Zuhaili, harta sepencarian bermaksud harta yang diperoleh dalam masa perkahwinan seorang suami dan isterinya, hasil daripada sumber atau daripada usaha mereka sendiri. Harta sepencarian sebenarnya berasal daripada adat Melayu. Adat ini diterima pakai oleh ulama dan pihak berkuasa agama negara ini dan dijadikan sebahagian daripada hukum syarak kerana keadaannya yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Malah banyak membantu masyarakat Islam dalam persoalan penyelesaian berkaitan pemilikan harta suami isteri. Oleh kerana itu, perbincangan khusus tentang hukum harta sepencarian tidak dinyatakan dalam kitab fiqh klasik.

Kelima, ada pembahagian harta pusaka kepada ahli waris (faraid). Harta pusaka yang berbaki setelah dilaksanakan semua hak di atas hendaklah dibahagikan kepada waris yang berhak menerimanya. Pembahagian ini bergantung kepada kedudukan waris dan hubungannya dengan si mati. Pembahagian ini perlu diberikan kepada waris mengikut bahagian ditetapkan dalam undang-undang Islam mengenai pembahagian harta pusaka kepada waris (faraid) ataupun secara muafakat seperti disepakati oleh semua ahli waris yang berhak menerima harta pusaka.

Kesimpulannya, terdapat beberapa kewajipan mengenai harta pusaka yang ditinggalkan oleh simati sebelum harta berkenaan dibahagi-bahagikan kepada ahli waris yang berhak menerima pusaka itu. Hal ini perlu difahami dan dititikberatkan agar tidak berlaku kesalahan dalam menguruskan harta peninggalan si mati.

Penulis Ketua Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As Sofa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 7:00 AM