Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bersama Tosrin Jarvanthi (kiri)  menyampaikan bantuan zakat kepada golongan asnaf. FOTO FARID NOH
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad bersama Tosrin Jarvanthi (kiri) menyampaikan bantuan zakat kepada golongan asnaf. FOTO FARID NOH
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengakui ada usaha terancang pihak tertentu untuk menyebarkan dakyah fahaman liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata pihaknya akan mendedahkan isu berkenaan dalam masa terdekat.

"Tunggu saya teliti dapatan fakta terperinci daripada JAINJ dahulu. Ia akan diumumkan dalam satu sidang media nanti," katanya.

Menurutnya, JAINJ juga sudah diarahkan untuk melakukan pemantauan dan pemerhatian terhadap usaha pihak tertentu menyebarkan fahaman liberal secara terancang di negeri ini

"Kita ada pegawai khas JAINJ di setiap pejabat agama daerah yang bertanggungjawab meneliti perkembangan penyebaran liberal supaya tindakan segera dapat diambil untuk menanganinya dengan segera.

"Saya sudah mengarahkan Bahagian Dakwah dan Siasatan JAINJ supaya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menanganinya supaya ia tidak menjadi ancaman serius," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan bersama Menteri Besar, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang mendakwa penularan fahaman liberal berkembang agresif dalam media sosial dengan hasil risikan PDRM menunjukkan ideologi itu sudah mula berkembang di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Sementara itu, Tosrin berkata, kesan pandemik Covid-19 turut memberi impak yang besar kepada kutipan zakat di seluruh Johor.

Katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakibatkan sektor ekonomi terjejas teruk termasuk hasil pertanian.

"Oleh sebab itu, didapati kutipan zakat menunjukkan penurunan yang ketara namun kita sedang berusaha merangka langkah baharu bagi meningkatkan semula kutipan zakat supaya sumbangan kepada asnaf di Johor tidak terjejas.

"Setakat ini, jumlah kutipan zakat terkumpul berjumlah RM184.9 juta, membabitkan 2.2 juta pembayar zakat.Untuk mencapai sasaran RN307.2 juta kutipan zakat tahun ini, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) akan bekerja keras bagi memastikan asnaf negeri kekal terbela, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 9:41 PM